FilemReview

Pergolakan Kumpulan Pengganas Intipati Filem Kalla: Hidup Atau Mati

Tajuk: Kalla: Hidup Atau Mati
Tarikh Tayangan: 11 Oktober 2018
Durasi: 1 jam 40 minit
Genre: Aksi/Drama
Pengarah: Alan Smithee
Pelakon: Faizal Hussein, Farali Khan, Vanida Imran, Azhan Rani, Riz Amin, Zaidi Omar, Adam Shahz dan Haeryanto Hassan.
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali filem tempatan mengambil intipati tentang kumpulan pengganas yang dahulunya sering kali menjadi isu panas di muka hadapan akhbar-akhbar dari serata dunia.

Penerbit baharu, Little Film cuba tampilkan kelainan dengan mengupas isu tersebut menerusi naskhah sulung mereka, Kalla: Hidup Atau Mati (Kalla).

Mempertaruhkan pelakon handalan seperti Faizal Hussein, ternyata aura dan karisma pelakon senior itu masih berbisa.

Faizal memberikan persembahan terbaik menerusi filem ini yang banyak menuntutnya untuk beraksi lasak bersama pelakon gandingannya, Farali Khan.

Bergenrekan aksi dan drama, Kalla sarat dengan plot tipu muslihat, konflik, aksi pertempuran serta pengintipan yang mampu membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah dalang kepada aktiviti keganasan yang dirancang sehingga ke akhir filem.

Kalla mengisahkan seorang profesor Dr Ezahar (Faizal Hussein) yang ingin mencari sebab kepada kematian isterinya (Vanida Imran) yang terkorban selepas bangunan hotel yang dimasukinya dibom kumpulan pengganas.

Dalam menjalankan misinya, Dr Ezahar berdepan dengan banyak cabaran dan dugaan sehingga membawa kepada pertemuan dengan Uyun (Farali Khan) yang turut ingin mencari hingga ke akar umbi kepimpinan kumpulan pengganas yang dikenali dengan nama Kalla itu.

Tragedi penggeboman itu berpunca daripada kerakusan kuasa hasil pecah belah sebuah kumpulan besar yang bergelar Kalla. Namun disebabkan ketamakkan, kumpulan itu telah berpecah dua membentuk musuh Kalla iaitu Saif.

Kalla adalah sekumpulan lelaki dan wanita yang bersumpah untuk melindungi khazanah Islam di empayar Melaka pada abad ke-15. Objektif mereka adalah untuk menyampaikan khazanah kepada pemimpin yang sah apabila tiba masanya.

Dr Ezahar yang cuba merungkai mengenai Kalla akhirnya berdepan satu realiti yang tidak masuk akal apabila individu yang disayanginya merupakan antara dalang besar kepada aktiviti keganasan yang telah mengacau bilau kebanyakan negara Asia pada ketika itu.

Siapakah sebenarnya yang merupakan dalang kepada semua kekacauan itu? Jawapan itu hanya boleh terungkai sekiranya anda menjejakkan kaki ke pawagam berhampiran untuk menonton Kalla: Hidup Atau Mati.

Kalla mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam (11 Oktober). Filem ini juga akan ditayangkan di Brunei dan Singapura. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button