
PMKS Perlu Transformasi Kepimpinan Hadapi Perubahan Teknologi, Kos dan Pasaran
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memperkukuh kepimpinan serta bersedia menghadapi perubahan teknologi, peningkatan kos dan persaingan pasaran bagi memastikan perniagaan terus mampan dan berdaya saing.
Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG) dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, cabaran terbesar usahawan hari ini bukan sekadar mengurus operasi, tetapi memastikan pemimpin atau driver syarikat mampu menyesuaikan perniagaan dengan perubahan teknologi, pasaran dan landskap ekonomi yang semakin pantas.
“Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tekanan yang ditanggung oleh pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.
“Ramai hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan yang telah dilalui sebelum berjaya, berapa ramai pekerja yang bergantung kepada syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga yang sama-sama berkorban sepanjang perjalanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Inner Circle Meeting (ICM) Johor yang menghimpunkan lebih 200 usahawan dari seluruh negara bagi memperkukuh strategi, kepimpinan dan sistem perniagaan supaya lebih bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan industri.
Jelasnya, transformasi driver perlu menjadi keutamaan kerana pemimpin yang bersedia berubah lebih berupaya memacu organisasi, membuat keputusan yang tepat serta mengharungi cabaran perniagaan yang sentiasa berkembang.

Bukan itu saja, penulis 14 buku antarabangsa bersama bapa pemasaran moden, Philip Kotler dan pengasas firma perkhidmatan profesional Indonesia, PenMCorp (MarkPlus), Bapak Hermawan Kartajaya turut berkongsi insight terkini mengenai strategi pemasaran dan pertumbuhan perniagaan.
Turut menjadi tetamu jemputan ialah bekas atlet kebanggaan negara, Josiah Ng yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel serta tiga kali mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik.
Kini bergelar usahawan dan penceramah, beliau berkongsi mengenai kepentingan mindset, disiplin serta mentaliti berprestasi tinggi dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan.
Tambah beliau, apabila sesebuah syarikat berdepan masalah, kesannya bukan sekadar kepada pemilik, malah turut melibatkan pekerja, pembekal, pelanggan dan keluarga yang bergantung kepada kelangsungan perniagaan tersebut, justeru setiap komen atau persepsi yang disebarkan tanpa fakta juga memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah.
“Sepanjang hampir dua dekad membimbing komuniti usahawan, saya tidak pernah melihat sebuah syarikat gagal hanya kerana satu faktor kerana prestasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh gabungan pelbagai perkara termasuk perubahan ekonomi, aliran tunai, persaingan pasaran, teknologi, kepimpinan organisasi, disiplin pelaksanaan serta keputusan yang dibuat oleh driver kepada syarikat itu sendiri.
“Ramai mencari siapa yang hendak dipersalahkan apabila sebuah syarikat jatuh, sedangkan soalan yang lebih penting ialah apa yang telah berubah dalam pasaran, apa keputusan yang telah dibuat oleh syarikat dan sejauh mana ‘driver’ kepada syarikat itu bersedia berubah apabila dunia di sekelilingnya berubah,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, bahawa seorang mentor tidak pernah mempunyai kuasa untuk menjamin seseorang usahawan akan berjaya sepanjang hayat.
Ujarnya, dunia perniagaan sentiasa berubah, namun peranan mentor adalah membina cara berfikir, kepimpinan, disiplin, strategi dan daya tahan supaya seseorang usahawan mempunyai keupayaan untuk bangkit apabila diuji.
“Seorang mentor boleh menunjukkan jalan, tetapi yang memegang stereng tetap driver kepada syarikat itu sendiri kerana setiap keputusan berkaitan operasi, kewangan, pengambilan pekerja, pelaburan dan hala tuju syarikat akhirnya ditentukan oleh pemilik serta barisan kepimpinan organisasi.
“Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver kerana apabila pemimpin berubah daripada segi cara berfikir, disiplin, kepimpinan dan keberanian membuat keputusan, organisasi juga akan mula berubah.
“Cabaran sebenar PMKS hari ini bukan semata-mata ekonomi, tetapi apabila driver kepada syarikat berhenti belajar sedangkan pelanggan berubah, teknologi berubah dan pasaran berubah setiap hari,” ujarnya.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu melihat perjalanan usahawan secara menyeluruh dan bukannya memilih hanya satu kisah yang sesuai dengan sesuatu naratif kerana sepanjang hampir dua dekad RichWorks membimbing komuniti usahawan, terdapat ribuan kisah yang membawa pengajaran berbeza.
“Antara contoh yang saya sendiri saksikan ialah perjalanan Pengasas Momentum Iyziq, Najib Asaddok yang pernah melalui episod kejatuhan besar sebelum bangkit semula dan kembali mencatat jualan jutaan ringgit sebulan,
“Manakala usahawan pendidikan, Miss Fana (Siti Farhana Abu Osman) pula berjaya membawa PTTI mencatat jualan mencecah RM28 juta pada tahun 2025, sekali gus membuktikan bahawa apabila driver terus berkembang, organisasi juga mampu berkembang sehingga membina antara empayar pendidikan tuisyen paling berjaya di negara ini,” jelasnya.
Malah Mohamed Nurhakim (Norman Hakim) menerusi Normey Holdings Sdn. Bhd. turut membuktikan bahawa pertumbuhan luar biasa mampu dicapai.
Bermula sebagai peserta program SPIRE pada tahun 2022 dengan jualan sekitar RM1 juta, beliau kini merupakan ahli Titan Circle Plus dan berjaya mencatatkan jualan melebihi RM13 juta sehingga Jun 2026.
Selain itu, Dr. Kartika Wati Mohamed pula pernah melalui fasa yang hampir menutup syarikatnya sebelum berjaya mentransformasikan Eskayvie menjadi antara jenama kesihatan tempatan yang dikenali ramai.
Azizan memberitahu, ketiga-tiga kisah itu mempunyai jalan cerita yang berbeza, namun satu perkara yang sama ialah mereka memilih untuk terus belajar, menerima teguran, mengubah strategi dan tidak berhenti bertindak walaupun berdepan cabaran yang besar.
Dalam perkembangan sama, RCG menegaskan bahawa pihaknya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan dan kritikan secara bertanggungjawab.
Namun kebebasan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat yang tidak benar, membuat tuduhan tanpa asas atau menerbitkan kandungan yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi individu dan organisasi.
“Berdiam diri tidak bermaksud kami tidak mengambil tahu kerana kami sentiasa memantau setiap komen, hantaran, video dan dakwaan yang melibatkan RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman serta komuniti usahawan kami.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan fitnah atau kenyataan palsu yang menyalahi undang-undang, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran perundangan bagi melindungi hak serta reputasi organisasi.
“Kami percaya, masyarakat Malaysia mampu menjadi komuniti yang lebih matang dengan memilih untuk mendoakan, menyokong dan belajar daripada pengalaman usahawan yang sedang diuji kerana sejarah membuktikan bahawa hampir setiap syarikat hebat di dunia pernah melalui saat paling sukar, namun yang membezakan mereka ialah keberanian untuk bangkit semula, bukannya hakikat bahawa mereka pernah jatuh, ” jelasnya. – KopiPlanet.com



