• FOLLOW US
Rancangan TV, TV

Program Realiti The House Musim Ke-5 Tampilkan Bintang BBNU

Setelah empat musim bersiaran, program realiti The House yang ditayangkan di portal hiburan Gempak menerusi Gempak Original Series kini kembali dengan musim terbaharu.

Menariknya, untuk musim yang kelima ini, The House menampilkan tiga bintang BBNU yang kini semakin meningkat naik iaitu Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Sissy Imann.

Ketua Kandungan Gempak, Nazihah Dalhar berkata, biarpun ketiga-tiganya masih dianggap baru, namun kehadiran dan bakat mereka dengan pantas meraih populariti bukan calang-calang dan dilihat setara dengan penghibur berpengalaman.

“Profil seni angkatan BBNU ini juga boleh dianggap cemerlang sehingga ramai di antara mereka yang berpeluang untuk beraksi di acara-acara besar dan turut bertanding di pentas berprestij.

“Melihat kepada trend terkini yang didominasikan oleh angkatan BBNU tersebut, kami berpendapat ini momen terbaik untuk mengetengahkan mereka menerusi penerbitan terbaharu program realiti The House,” ujarnya.

Menurut Nazihah, sama seperti musim-musim sebelumnya, The House masih mengekalkan tradisi meletakkan nama-nama popular yang mempunyai pengaruh kuat di media sosial.

Ujarnya, pemilihan ketiga-tiga artis berkenaan juga dilihat menepati kriteria yang diperlukan oleh The House untuk menarik penonton sasaran.

“Semoga musim ini mampu mengulangi kejayaan musim-musim terdahulu, sekaligus menetapkan penanda aras baharu kepada kejayaan kandungan digital di platform Gempak,” ujarnya.

The House yang berdurasi selama 22 minit sepanjang lima episod bakal disiarkan secara eksklusif menerusi portal digital www.thehouse.com.my pada setiap hari Selasa mulai 19 Mac ini.

Kemudian diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula pada 27 Mac ini setiap hari Rabu pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend