Cerita ArtisHiburan

Rutin Harian Berubah Sepenuhnya, Ella Seronok Jaga Anak Angkat

Ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin, 54, mengakui seronok menjalani kehidupan bersama anak angkat yang dibelanya sejak setahun lalu.

Menurut pelantun lagu Standing In The Eyes Of The World itu, kehadiran Shanome Az Zahra memberikan kebahagiaan buat keluarganya selain rutin hariannya kini sudah berubah sepenuhnya sejak kehadiran si comel tersebut.

“Alhamdulillah, kehidupan kini bertambah bahagia, saya dan suami sentiasa mencari masa untuk diluangkan bersama anak kami.

“Rutin harian pun berubah 360 darjah, saya kena tukar semula jadual harian. Kalau dulu shopping untuk diri sendiri, sekarang ini anak menjadi keutamaan.

“Shanome baharu sahaja mencecah usia tiga tahun, dia seorang yang cepat belajar dan perangainya pun ada sikit-sikit sama macam saya.

“Saya seronok menjaganya dan suami pun sama-sama membantu jaga Shanome. Kalau salah seorang sibuk dengan kerja, yang seorang lagi akan jaga. Kalau kami berdua sibuk, akan ada orang yang jaga dia. Semua saya pantau untuk Shanome,” katanya.

Ella berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media mengumumkan lantikannya sebagai duta jenama pakaian muslimah Sabella di The Love Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalamannya menjaga anak, Ella berkata pada mulanya dia sedikit kekok dan berhadapan kesukaran namun perkara itu berjaya diatasinya dari masa ke semasa.

“Tipulah kalau cakap tak berhadapan dengan situasi sukar menguruskan anak kecil, dulu saya jadi risau nak uruskan terutama nak tukar lampinnya. Tapi sekarang dah okay dah.

“Saya juga panik apabila dia mula menangis kerana tak tahu apa yang dia mahukan sampaikan saya sendiri pun turut menangis sekali,” ujarnya berseloroh.

Untuk rekod, Ella mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Azhar Ghazali pada 7 Julai 2012. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button