Cerita ArtisHiburan

Saharul Ridzwan Makin Murah Rezeki, Bawa Keluarga Tunai Umrah

Tawaran kerja yang tidak putus-putus diterima Saharul Ridzwan membuktikan seseorang artis itu tidak hilang rezeki dalam bidang seni biarpun selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Saharul berkata, jadual kerjanya sudah penuh hingga ke bulan Jun tahun hadapan dengan pelbagai tawaran drama menerusi beberapa stesen televisyen tempatan.

“Alhamdulillah, jadual saya dah penuh sehingga Jun tahun depan. Lepas habis satu kerja, saya hanya ada waktu selama seminggu lebih sebelum kembali ke set penggambaran. Selain tawaran berlakon, saya juga akan kembali kepada bidang pengacaraan yang pernah saya jayakan satu ketika dahulu.

“Dalam pada sibuk dengan kerjaya, saya kosongkan jadual pada 13 hingga 25 Disember ini untuk mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga. Saya pergi bersama isteri, anak, ibu dan adik saya serta ibu mertua dan adik-beradik isteri. Bapa mertua tidak dapat ikut disebabkan masalah kesihatan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Saharul ditemui pada majlis sidang media pelancaran drama Selafaz Cinta yang berlangsung di TGV One Utama, Damansara baru-baru ini. Menerusi drama 60 episod itu, Saharul membawakan peranan seorang suami yang curang dengan orang ketiga.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam drama berkenaan, pelakon berkenaan memberitahu Selafaz Cinta merupakan drama bersiri paling panjang yang pernah dilakonkannya.

“Ini pertama kali saya berlakon dalam naskhah yang melibatkan banyak episod. Sebelum ini, saya berlakon selalunya sampai 28 episod yang paling lama. Malah, berlakon dengan Syatilla juga tiada masalah buat kami untuk dapatkan keserasian memandangkan kami berdua sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

“Jadi, kami aplikasikan rutin kehidupan harian bagi memantapkan lagi penghayatan watak masing-masing dalam drama ini.
Selafaz Cinta bukanlah nak tunjukkan kecurangan itu, sebaliknya ada lagi plot twist yang akan terjadi pada watak-watak utama,” katanya.

Selafaz Cinta yang diarahkan Pali Yahya bakal ditayangkan pada 27 November ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Selain Saharul, drama terbitan Suhan Movies ini turut dibintangi Syatilla Melvin, Puteri Aishah, Aqasha, Luqman Hafidz, Sora Sojangi, Riz Amin dan Chacha Maembong. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button