Cerita ArtisHiburan

Sambut Ramadan Tanpa Suami, Erma Fatima Tak Rasa Sunyi

Kali pertama menyambut Ramadan tanpa suami, pengarah Erma Fatima mengakui dia tidak merasai perubahan tersebut memandangkan kekosongan itu terisi dengan kehadiran anak-anak yang sentiasa menemaninya.

Menurut Erma, dia cukup bertuah kerana kehidupannya kini terisi dengan anak-anak yang menjadi peneman setianya sehingga kini.

“Terus-terang saya langsung tak rasa perbezaan ada suami atau tidak di sisi. Mungkin disebabkan dahulu Bade dah latih saya dua tahun lalu, yang mana dia akan ulang-alik, satu hari belah saya dan satu hari lagi di belah sana.

“Jadi, hal itu sedikit sebanyak dapat mempersiapkan saya dan memang tak rasa kehilangan. Ada atau tidak suami di sisi, ia sama sahaja bagi saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Erma ditemui pada majlis pelancaran aplikasi permainan dalam talian, Mak Cun’s Adventure! di Restoran Subak, Sungai Penchala semalam.

Erma dan pengarah Bade Azmi disahkan bercerai pada 17 Ogos tahun lalu selepas 26 tahun berumah tangga.

Bade berkahwin kali kedua pada 2014 dengan wanita berasal dari Pahang bernama Aida dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sepanjang perkahwinan dengan Erma, mereka tidak dikurniakan cahaya mata, namun mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, Ahmad Arir, Ahmad Aifin, Citra dan Nurain.

Bercerita lebih lanjut, seperti tradisi Ramadannya sebelum ini, Erma akan memasak hidangan berbuka dan bersahur sendiri selain meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

“Dalam hidup harta yang paling besar adalah anak-anak saya. Sebab itu dalam bulan puasa memang saya berehat daripada kerja untuk masak dan berbuka bersama anak-anak.

“Kalau dapat undangan berbuka puasa, memang saya bawa anak-anak sekali agar kami dapat sentiasa berbuka bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tidakkah dia terfikir untuk mencari pengganti, Erma memberitahu perkara tersebut langsung tidak terlintas di fikirannya.

“Saya tak terfikir langsung nak cari pengganti. Menyusahkan saya pula nanti untuk faham kalau ada suami baharu dan kena mula dari awal balik.”

“Saya sekarang sudah cukup bahagia dengan anak-anak, lagipun tiada mana-mana lelaki yang berani nak mendekati saya,” ujarnya berseloroh. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button