Cerita ArtisHiburan

Selepas 32 Tahun Sempena Detik Istimewa, Erra Fazira Kembali Hidupkan Semula ‘Cinta Abadi’

Penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira kembali memeriahkan industri muzik dengan merakamkan semula lagu epik klasik nyanyiannya, ’Cinta Abadi’ yang permah diterbitkan pada tahun 1993. 

Lagu nukilan Razman dengan sentuhan lirik Habshah Hassan ini diangkat dalam versi baru bagi meraikan hari istimewa primadona negara ini.

Dalam Versi 2025 ini, ‘Cinta Abadi’ mendapat suntikan muzik moden dan tidak hanya dipersembahkan satu versi sebaliknya tampil dalam versi piano yang memberikan sentuhan emosi berbeza untuk para pendengar khususnya peminat Erra Fazira.

Idea merakamkan kembali ‘Cinta Abadi’ ini adalah dari pihak pengurusan Erra Fazira iaitu MindOrder Sdn Bhd yang melihat ia sebagai satu buah tangan istimewa buat peminat bintang terkenal itu yang sekian lama menunggu single terbaru nyanyiannya. 

Erra Fazira menyifatkan ‘Cinta Abadi’ adalah sebuah lagu yang cukup istimewa dan mengukir namanya sebagai penyanyi di Malaysia. Tidak sekadar melodinya yang romantik dan bersesuaian dengan karektor vokalnya, ‘Cinta Abadi’ adalah sebuah titik permulaan kepada sebuah nama Erra Fazira.

“Sudah 32 tahun usia lagu ini. Siapa sangka, ia sudah berlalu lebih tiga dekad namun setiap saat dan momen ketika merakamkan lagu ini masih saya ingat dengan terperinci. 

“Rasa seram sejuk ketika pertama kali ke studio rakaman di Singapura masa itu. Saya masih berusia 19 tahun dan sangat gugup,” ujarnya.

Erra berkata, apa yang istimewanya apabila lagu berkenaan telah memperkenalkan namanya dan melonjakkan jenama ‘Erra

Fazira’ sebagai seorang penyanyi serta banyak undangan nyanyian yang datang hanya kerana lagu ini menjadi fenomena di kalangan pendengar tempatan.

“Justeru ketika pihak MindOrder Sdn Bhd mengusulkan idea untuk merakamkan semula lagu ini, saya tidak berfikir panjang kerana menyedari begitu ramai peminat yang sebenarnya menyukainya.

“Sudah tentu versi terbaru ini dapat mengubati rindu mereka kepada

nyanyian saya hari ini dalam sebuah melodi klasik yang pernah menjadi kegemaran mereka dulu,” katanya.

Tidak sekadar merakamkan versi terbaru, malah ‘Cinta Abadi 2025’ telah menjalani penggambaran video muzik bagi menambahkan elemen visual yang indah dan selari dengan keindahan lagu. 

Malah video muzik ini juga menjadi sebahagian daripada pelan pemasaran bagi memperkenalkan lagu ini kepada pendengar hari ini.

Penggambaran video muzik telah dilakukan di sekitar Hotel Royal Chulan Cherating Villa & Chalet dan mendapat tajaan sepenuhnya daripada Pos Malaysia.

Tambah Erra Fazira, keseluruhan video muzik ini memberikan satu perasaan yang sangat indah dan romantik dengan pemandangan pantai di waktu senja yang akan menzahirkan satu ‘mood’ tersendiri buat peminat yang menontonnya nanti.

“Lebih melengkapkan jalan ceritanya apabila penyanyi Naqiu turut tampil bersama dalam video muzik ini. Saya seronok dan yakin peminat akan menghargai apa yang cuba saya sampaikan,” katanya.

“Cinta Abadi 2025 dan Versi Piano” boleh didengarkan di semua platform digital sejak 28 November lalu. – KopiPlanet.com

.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button