• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Hisyam Hamid Selesaikan Masalah Dengan Isteri Tanpa Campur Tangan Keluarga

Pelakon Hisyam Hamid mengatakan dia akan mengambil pendekatan untuk segera menyelesaikan masalah sekiranya berhadapan konflik dengan isterinya, Rosmawati Hanafi tanpa campur tangan keluarga.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, Hisyam berkata, adalah mustahil jika tidak pernah bergaduh dengan isteri, namun dia sedaya upaya akan cuba berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah dengan segera.

“Kalau saya ada masalah dengan isteri, apa yang kami lakukan adalah cuba sedaya upaya untuk selesaikan masalah secepat mungkin tanpa melibatkan keluarga. Kalau tidak selesaikan masalah dengan segera, kesannya boleh jadi buruk di kemudian hari.

“Apa yang saya cuba praktik ialah komunikasi dan persefahaman di antara suami isteri. Saya tak layak sebenarnya untuk nak komen tentang penceraian selebriti yang banyak berlaku, tetapi ini adalah tips apa yang saya dan isteri buat di rumah,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hisyam ditemui pada majlis pratonton filem televisyen Astro First Eksklusif (FTV) Geng terbitan Perempuan Productions yang diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas tentang isu penceraian yang semakin banyak berlaku dalam kalangan selebriti, Hisyam berkata seboleh-bolehnya dia akan memikirkan tentang perasaan anak-anak melebihi segala-galanya.

“Perkara ini sangat sensitif untuk komen sebab ia adalah sangat peribadi bagi mereka yang sedang melalui fasa ini. Saya rasa tiada orang yang dah berkahwin nak berpisah, kalau boleh semua nak kekal sehingga ke akhir hayat. Kalau perkara sebegini ini jadi, kasihan pada anak-anak.

“Saya tahu perasaan itu sebab saya sendiri datang daripada ‘broken family’. Kalau ada penyelesaian yang lebih baik daripada bercerai, usahakan dulu, kalau tak boleh (nak buat macam mana), jodoh itu di tangan Tuhan.

“Kalau ada masalah, kita selesaikan sahaja dengan pasangan kita. Jangan libatkan orang lain. Kalau dah tak boleh sangat, minta nasihat daripada orang yang berpengalaman dalam hal rumah tangga, jangan pula pergi minta nasihat daripada kawan-kawan yang belum berkahwin,” kongsinya.

Hisyam, 34, berkahwin dengan isteri pada 2 September 2006 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Nurish Syameliah, 12, dan Hayden, 10 tahun. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend