Selfie Jennifer Aniston Imbau Kembali Kegemilangan Sitkom ‘Friends’
Jika sebelum ini selfie paling ‘mahal’ pernah dibidik hos Ellen DeGeneres ketika menghadiri majlis Anugerah Oscar 2014 kerana ramai muka-muka popular berada dalam satu ‘frame’, satu lagi selfie ini boleh dikatakan cukup ‘mahal’ juga.
Foto pertama yang dikongsikan pelakon Jennifer Aniston bersama rakan-rakan sitkom Friends berjaya menimbulkan ‘huru-hara’ di Instagram apabila tidak sampai beberapa jam gambar itu dimuat naik ia telah menerima lebih daripada tujuh juta tanda suka daripada peminat seluruh dunia.
Menerusi gambar itu, Jennifer bersama rakan-rakan baiknya, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc, Matthew Perry dan David Schwimmer mengadakan pertemuan semula seakan mengimbau kembali kegemilangan mereka pada era 90-an.
Jennifer menulis kapsyen, “And now we’re Instagram FRIENDS too. Hi Instagram.” Setakat ini, Jennifer telah berjaya mengumpul seramai 5.5 juta pengikut sebaik sahaja dia membuka akaun Instagram semalam.
Sebelum ini ada khabar angin mengatakan Friends bakal difilemkan namun Jennifer memberi respon dengan berkata, “Penerbit kami tidak mahu menerbitkannya, jadi ia tidak akan jadi kenyataan. Kalau filem ini jadi kenyataan, tentunya ia bakal jadi sesuatu yang seronok dan menghiburkan.”
Friends yang mula ditayangkan pada 22 September 1994 memaparkan kehidupan enam sekawan di kota New York. Ia bertahan selama 10 musim dengan sebanyak 236 episod. – KopiPlanet.com