Cerita ArtisHiburan

Sempena Ramadan Haiza, Dafi & Siti Sarah Tampil Hulur Sumbangan

Mengambil kira bulan Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga membuatkan beberapa artis di bawah naungan Indigital Music tampil menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Bagi Haiza Hanafi, Siti Sarah Raissuddin dan Dafi, mereka mengambil kesempatan ini untuk sama-sama membantu dengan menghulurkan bantuan kepada penduduk di sekitar Pontian yang terjejas mencari sumber pendapatan sejak sebulan yang lalu.

“Ini adalah tanggungjawab sosial saya untuk membantu mereka yang memerlukan. Ada orang mencari pendapatan dengan bergaji harian. Jadi mereka mungkin mengalami kesukaran ketika ini.

“Saya ambil inisiatif untuk memberikan keperluan asas kepada mereka yang terkesan dan setidaknya boleh menyambut Ramadan dengan tenang,” ujar Norwati Manan yang juga merupakan Pengawai Perhubungan Awam Indigital Music yang kebetulan berada di sana.

Menariknya, dia tidak keseorangan sebaliknya mendapat kerjasama daripada NGO Pertubuhan Kebajikan Aspirasi Peduli Rakyat Marhaen yang sama-sama turun padang membantu.

Antara bahan keperluan yang diagihkan termasuklah beras, minyak masak, tepung, gula dan beberapa barangan lain lagi.
Fasa pertama agihan bantuan, mereka menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan termasuklah polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal kawasan tersebut.

Ujarnya, agihan bantuan kemudian diberikan kepada 400 keluarga lain yang nyata memberikan senyuman kepada mereka dalam menghadapi situasi getir ini.

Meskipun tidak dapat turut serta dalam misi menghulurkan bantuan, Sarah bagaimanapun bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Ini mungkin fasa getir bukan sahaja buat kita di Malaysia tetapi juga di seluruh negara. Kalau orang senang pun merasa terkesan, apatah lagi orang biasa. Saya harap semua sabar dan reda menghadapinya.

“Harapnya lebih ramai yang prihatin dan bantu membantu antara satu sama lain. Inilah keindahan hidup bermasyarakat,” katanya ringkas.

Bagi Dafi pula, dia berterima kasih kepada pihak NGO tersebut yang sudi mewakili dirinya menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button