Cerita ArtisHiburan

“Rakyat Malaysia Harus Tahu Cakap Bahasa Kebangsaan” – Amelia Henderson

Pelakon dan model, Amelia Henderson berpendapat seorang warganegara Malaysia seharusnya mempunyai kemahiran dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Menurut selebriti jelita yang mempunyai darah kacukan Malaysia – Scotland itu, dia juga pada mulanya mempunyai kesukaran untuk berbahasa Melayu namun tetap berusaha untuk menguasainya.

“Ketika saya berada di sekolah rendah, saya akui penguasaan dalam Bahasa Melayu sedikit lemah sampaikan ada orang ejek bila saya cakap kedengaran pelat. Dari situ saya berusaha untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita dan sepatutnya rakyat Malaysia perlu tahu bercakap Bahasa Melayu sebab kita adalah orang Malaysia. Bagi saya kalau seseorang itu tidak menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan sehariannya, tapi sekurang-kurangnya sebagai rakyat Malaysia mereka perlu tahu asas-asas untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Amelia ditemui pada majlis sidang media Dewi Remaja Edisi 2019/2020 yang berlangsung di The Starling Mall, Damansara Utama, baru-baru ini.

Selebriti berusia 24 tahun itu diberi peranan selaku hos bagi mengacarakan program pencarian bakat gadis cantik dan bijak anjuran majalah Remaja itu.

Pertama kali mengendalikan rancangan sepenuhnya berbahasa Melayu, Amelia beranggapan ia adalah satu cabaran buatnya untuk melakukan yang terbaik memandangkan sebelum ini dia lebih banyak mengacarakan program-program berbahasa Inggeris.

“Bila saya dah terlalu biasa mengacara dalam bahasa Inggeris, ia jadi senang sebab saya memang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan ini kali pertama saya hosting dalam bahasa Melayu, saya takut terlepas cakap bahasa Inggeris.

“Walaupun pihak produksi beri kebenaran untuk saya gunakan bahasa campuran Melayu-Inggeris dalam rancangan ini, tapi kalau boleh saya nak cuba berkomunikasi 100 peratus dalam bahasa Melayu.

“Untuk lebih menguasai bahasa Melayu, apa yang saya buat ialah berlatih bercakap dalam bahasa itu dengan ibu dan adik saya di rumah. Nak menguasai apa-apa bahasa pun, kita perlu sentiasa berlatih bercakap dalam bahasa itu. Harapnya saya dapat memuaskan hati semua pihak ketika menggendalikan program itu nanti,” ujarnya lagi.

Dewi Remaja Edisi 2019/2020 bakal disiarkan di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), pada setiap Sabtu, jam 9 malam bermula 26 Oktober ini. 12 peserta akan diadili dua juri tetap iaitu Yusry Abdul Halim dan pemenang Dewi Remaja Edisi 2005/2006 Scha Alyahya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button