Cerita ArtisHiburan

Sering Ikut Azhar Idrus, Saiful Apek Selesa Beri Ceramah Di Masjid

Setelah sekian lama dilihat mendiamkan diri daripada industri hiburan, pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek mendedahkan dia kini lebih selesa melakukan kerja-kerja berkaitan perkongsian ilmu dengan mana-mana pihak yang sudi untuk menjemputnya.

Menurut Apek, dia mula berjinak dengan forum perkongsian ilmu di masjid sejak dua tahun lalu selepas mengikut rakan baiknya, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

“Saya kini selesa jadi motivator dan sejak dua tahun kebelakangan ini, saya banyak dapat jemputan menjayakan forum islamik daripada pihak masjid, sekolah dan pusat pengajian tinggi. Semuanya bermula apabila saya sering mengikut Ustaz Azhar Idrus dan dari situ saya rajin turun ke ceramah-ceramah lain.

“Sejak itu, penglibatan saya semakin serius apabila banyak mendapat tawaran untuk berkongsi tentang isu-isu kemanusiaan dan pengalaman diri. Saya pun sedar diri saya tidak layak untuk bercakap soal agama, sebab itu kedatangan saya hanya untuk memeriahkan masjid agar dapat tarik orang ke sana.

“Saya hanya berkongsi tentang kisah pengalaman hidup dalam nada santai dan tidak terlalu serius dan tak sangka dapat sambutan. Alhamdulillah, saya semakin selesa dengan kerja-kerja sebegini,” katanya.

Apek berkata kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Festival Ramadan Putrajaya di Presint 3, Putrajaya semalam.

Menurut pelakon filem Laila Isabella itu, dia sering menerima undangan dari negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu. Malah, ada dalam kalangan peminatnya yang terdiri daripada kaum Cina dan India turut hadir ke masjid semata-mata ingin bertentang mata dengan dirinya.

“Sepanjang saya menjalankan aktiviti ini, ada dalam kalangan orang Cina dan India yang sanggup datang ke masjid untuk berjumpa dengan saya. Saya cukup terharu dengan sambutan yang diberikan oleh mereka.

“Walaupun nampak kerja yang saya buat sekarang ini tidak glamor yang saya buat dulu, tapi hati saya kini benar-benar tenang menjalani kehidupan yang serba sederhana.

“Saya dah tak pening macam kerja dulu. Memang dulu saya dapat pendapatan besar tapi stress. Sekarang lebih tenang dan serba sederhana. Pendekatan yang saya buat ini pun lebih bersifat ikhlas kepada peminat-peminat saya,” ujarnya lagi.

Walaupun sudah kerap mengikuti siri jelajah agama, namun Apek menegaskan dia sama sekali tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Sebaliknya, pelawak yang terkenal dengan kumpulan Senario itu lebih selesa bergerak bebas tanpa dilabelkan sebagai pengikut kepada mana-mana pihak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button