• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Sering ‘On & Off’, Butterfingers Yakin Dapat Tarik Peminat Ke Konsert

Kali terakhir disatukan untuk menjayakan persembahan pada tiga tahun lalu, kali ini kumpulan grunge popular era 90-an, Butterfingers yakin dapat menarik peminat setia mereka menerusi Konsert Transcedence 20 Tahun Butterfingers yang akan diadakan pada 2 November depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert yang dianjurkan bersama Unifi itu bakal menyaksikan penyatuan semula ahli-ahli band ini yang terdiri daripada Emmet selaku vokalis dan pemain gitar, Loque (pemain gitar), Kadak (bassist) dan Loko (pemain dram).

“Kami percaya walaupun kewujudan kami dalam industri boleh diibaratkan seperti ‘on and off’ tapi kerinduan itu yang membuatkan kami yakin peminat akan ternanti-nantikan penyatuan semula kami.

“Untuk konsert sempena meraikan ulang tahun ke-20 album kami yang paling laris terjual iaitu Transcendence, kami akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu daripada album tersebut beserta album-album sebelum itu seperti 1.2 Miligram, Butter Worth Pushful dan Malayneum.

“Kami harap semua yang membesar dengan muzik Butterfingers dapat hadir bersama meriahkan konsert ini selain diharap dapat menarik minat generasi baharu terhadap muzik yang dibawakan kami,” kata Loque mewakili ahli kumpulannya kepada KopiPlanet.com.

Loque ditemui pada majlis sidang media Konsert Transcedence 20 Tahun Butterfingers yang diadakan di Menara TM, Bangsar hari ini.

Sidang media itu turut disertai Emmet yang berada di Kanada menerusi aplikasi panggilan video Skype.

Bercakap mengenai persiapan menjelang konsert itu, Loque berkata mereka kini giat melakukan latihan pada setiap hari termasuk bersama Emmet.

“Walaupun Emmet jauh daripada sini tapi kami memanfaatkan teknologi yang ada dengan melakukan jamming bersama-sama.

“Kebiasaannya kami akan berlatih selama tiga jam sehari bagi memantapkan stamina dan persembahan kami.

“Emmet hanya akan pulang ke tanah air dua minggu sebelum konsert berlangsung, jadi kami akan tetap berlatih bersama biarpum menerusi panggilan video,” ujar Loque.

Sementara itu, ketika ditanya adakah mereka akan menghasilkan satu single khas bagi meraikan kegemilangan 20 Tahun Transcedence, Loque berkata buat masa ini Butterfingers ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada konsert.

“Kami ingin perah tenaga habis-habisan untuk konsert ini dahulu dan hanya selepas itu baharu kami fikir nak buat single atau album baharu. Buat masa sekarang memang kami tiada sebarang perancangan ke arah itu,” kata Loque.

Tiket konsert berharga RM115, RM165 dan RM265 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend