• FOLLOW US
Event, Hiburan

Sharifah Khasif Lamar Raihan & Jamal Abdillah Untuk Malam Qasidah

Kematangan gaya penyampaian kumpulan nasyid popular, Raihan telah membuka hati Ustazah Sharifah Khasif untuk melamar mereka menyertainya bersama-sama dengan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dalam Malam Kesenian & Kebudayaan Qasidah Night yang bakal diadakan pada 27 April ini, jam 8 malam bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Berkongsi lebih lanjut, Sharifah Khasif berkata dia sangat tertarik dengan persembahan live Raihan yang disaksikan secara langsung ketika mereka sama-sama terlibat dalam sebuah pelayaran cruise tahun lalu.

“Kumpulan Raihan mempunyai suara yang cukup istimewa, bukan saya kata tiada penyanyi lain yang bagus tapi harmoni dan kematangan Raihan dalam menjayakan persembahan cukup membuatkan saya terkesan. Tahun lalu, ketika sama-sama terlibat dalam sebuah majlis pelayaran cruise, saya tersentuh sampai mengalirkan air mata saat menyaksikan persembahan mereka.

“Sejak dari itu, saya memang simpan impian untuk bekerjasama dengan Raihan dan Alhamdulillah mereka melahirkan kesudian untuk menyertai Qasidah Night yang bakal diadakan pada hujung bulan ini,” katanya kepada KopiPlanet.com

Sharifah Khasif yang merupakan johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009 ditemui pada majlis sidang media Malam Kesenian & Kebudayaan Qasidah Night anjuran Pertubuhan Seni Qalam dan Academy Sharifatunna Quranic Arts yang diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Sharifah Khasif lagi, jika Qasidah Night ini akan mendapat sambutan menggalakkan, penganjur tidak teragak-agak unutuk mengadakan sesi persembahan bergerak di beberapa lokasi lain seperti di Johor Bahru, Ipoh, Alor Setar, Sabah dan Sarawak.

“InsyaAllah, kami dalam perancangan untuk mengadakan sesi persembahan bergerak ke lokasi lain, artis undangan yang ditampilkan berkemungkinan berbeza mengikut permintaan penonton contohnya seperti Datuk Ramli Sarip atau Faizal Tahir,” katanya lagi.

Menerusi Qasidah Night itu nanti, Jamal Abdillah, Sharifah Khasif dan Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan Abu Bakar Md Yatim akan menghiburkan penonton dengan lima buah lagu nyanyian masing-masing yang akan disesuaikan dengan alunan taranum.

Tiket berharga RM300 boleh dibeli menerusi talian 03-41441104 atau 012-2747918/012-3126254. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend