FilemHiburan

Skrip M.O.X Ambil Masa 6 Tahun Untuk Disiapkan Bagi Jamin Kualiti Filem

Walaupun naskhah bertemakan penyiasatan merupakan antara salah satu genre yang digemari penonton Malaysia, namun jarang-jarang sekali filem tempatan mengetengahkan tema sebegitu untuk menjamu selera peminat filem.

Menyedari hakikat itu, syarikat produksi Wallworld Pictures Sdn. Bhd telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah filem berjudul M.O.X – Misi Operasi X.

Pengarahnya, Datuk Zulkiflie M. Osman berkata, filem terbaharu arahannya itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya pernah buat kajian tentang bencana akhir zaman yang berpunca daripada senjata rahsia ciptaan manusia. Kemudian ia telah memberi idea kepada saya untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kajian yang dibuat, namun turut menyelitkan elemen-elemen komersial,” jelasnya.

Yang menariknya mengenai filem ini, penghasilannya skripnya sahaja sudah mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan.

Menurut Zulkiflie, ia mengambil masa yang lama agar segala fakta dan landasan mesej yang ingin disampaikan tidak lari daripada objektif sebenar, meskipun ia diolah kepada filem komersial.

M.O.X dibintangi Ebi Kornelis, Tya Arifin, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan ramai lagi.

“Pemilihan pelakon mengikut kesesuaian watak seperti Ebi Kornelis yang mempunyai tubuh tegap manakala Tya Arifin pula seorang ejen penyiasat dari Indonesia dan Shareeta pula memainkan watak anak seorang profesor dari India yang berpendidikan tinggi,” katanya.

Zulkiflie yang kini memegang portfolio pernah mengarahkan sebanyak 14 buah filem antaranya Mira Edora, Kekasih Awal Dan Akhir, Putera, Cinta Metropolitan dan Diari Romeo.

Sementara itu, pelakon utamanya, Ebi Kornelis yang menjayakan watak Don Pedro menyatakan tiada masalah buat dirinya untuk bekerjasama dengan Zulkifli memandangkan sudah beberapa kali dia bekerja di bawah arahan pengarah berkenaan.

“Selain selesa bekerja di bawah arahan beliau, saya tertarik dengan skripnya yang menggabungkan beberapa eleman seperti aksi, penyiasatan dan patriotik.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat tawaran membintangi filem ini dan saya anggap ia satu peluang keemasan utnuk menggembangkan lagi bakat dalam bidang lakonan,” ujar pelakon kelahiran Sabah ini.

Mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam filem ini, Ebi memberitahu antaranya adalah dia perlu menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh masa sebulan.

Ujarnya, untuk menjayakan watak sebagai Don Pedro, dia perlu sentiasa menjaga stamina kerana banyak melakukan babak aksi sendiri tanpa bantuan ‘stuntman’.

“Apa yang boleh saya katakan, penonton tidak akan dapat melihat karektor Ebi Kornelis sepanjang perjalanan filem ini. Penonton akan lihat Don Pedro iaitu seorang ejen antarabangsa hebat dari Malaysia yang akan menyelamatakan dunia daripada kehancuran dan kejahatan terancang perosak bumi,” jelasnya.

Heroinnya, Tya Arifin pula menyatakan wataknya sebagai Fifi adalah kekasih kepada Don Pedro yang juga seorang yang sangat berahsia. Ujarnya, dia menerima untuk berlakon dalam filem ini kerana belum pernah membawakan watak sebagai seorang ejen perisik.

“Mendapat kesempatan berlakon di bawah arahan Datuk Zulkeflie M.Osman adalah peluang terbaik memandangkan beliau seorang pengarah yang cukup berpengalaman.

“Malah, beliau juga banyak memberi saya ruang untuk mengembangkan lagi watak Fifi ini dan penonton akan dapat lihat kelainan yang saya tampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurutnya, M.O.X – Misi Operasi X ini juga merupakan filem pertama lakonannya sewaktu mula-mula bertapak di Malaysia empat tahun lalu.

“Sudah tentu saya sangat teruja menantikan filem ini keluar di pawagam dan berharap agar ia mendapat sambutan daripada penonton,” ujarnya.

Filem M.O.X – Misi Operasi X akan mula menemui penonton di 60 pawagam seluruh negara pada 21 November ini! – KopiPlanet.com

SINOPSIS M.O.X Misi Operasi X:

Ia bermula apabila ejen-ejen risikan rahsia M.O.X sebelum ini telah hilang tanpa dikesan atau terkorban gara-gara ancaman dari sebuah organisasi haram yang mengancam keselamatan dan kestabilan dunia yang menggelarkan diri mereka KFR13.

M.O.X adalah sebuah badan yang diketuai oleh ‘M’, manakala KFR13 pula diketuai oleh Komander Moshie yang menjalankan aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa yang berpangkalan di Alaska dan sering melakukan pelbagai ancaman kepada kestabilan dunia. Beroperasi secara rahsia yang lengkap dengan makmal penyelidikan dan peralatan senjata pemusnah yang canggih.

Semasa melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro telah berjaya menyelamatkan seorang penuntut Malaysia iaitu Martias yang berjaya menggodam maklumat perancangan KFR13 dan formula senjata mereka. Semenjak itu, ejen-ejen KFR13 sering mengekori Don Pedro untuk menghapuskan bukti dan cubaan membunuhnya sehingga ke beberapa negara termasuk Thailand, Malaysia, India dan Alaska.

Apakah yang akan terjadi seterusnya, jangan lupa saksikan filem M.O.X – Misi Operasi X yang akan ditayangkan di 60 pawagam seluruh negara pada 21 November 2019. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button