
Sonali Bendre Tidak Malu Tayang Parut Kanser Dalam Majalah Vogue
Setelah hampir enam bulan mendapatkan rawatan di New York, Amerika Syarikat bagi mengubati penyakit kanser yang dihidapinya, aktres Sonali Bendre tampil buat pertama kali menjayakan sesi penggambaran majalah Vogue India bagi menceritakan pengalamannya.
Tampil yakin, Sonali tidak malu untuk menunjukkan kesan parut yang terdapat di bahagian dada dan perutnya untuk memberi keyakinan dan semangat positif kepada setiap pejuang kanser seperti dirinya.
“Rambut hampir botak, tidak menggenakan solekan dan parut besar bukanlah sesuatu yang biasa anda tengok menerusi majalah Vogue. Tapi saya rasa ia sesuatu yang normal buat saya. Sudah tentu saya ada rasa tidak yakin pada mulanya tapi rakan-rakan banyak memberikan sokongan kepada saya untuk membuang perasaan itu jauh-jauh,” tulisnya di laman Instagramnya.
Menerusi gambar itu, Sonali menggayakan gaun berona kuning, t-shirt putih beserta cardigan coklat muda serta bercekak bagi melengkapkan lagi pesonanya.
Aktres berusia 44 tahun itu disahkan menghidap penyakit kanser pada Julai tahun lalu dan sejak itu dia ‘berhijrah’ ke New York bagi menjalani rawatan. Pada Disember lalu, dia telah kembali ke India semula bagi meneruskan kerjayanya.
Sonali bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik kanser apa yang dihidapinya kepada pihak umum. – KopiPlanet.com



