• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Sufian Suhaimi Tak Guna Kisah Putus Tunang Lariskan Lagu

Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan kenyataan yang dikeluarkan bapa Elfira Loy, Ahmad Sabri Ariffin yang mendakwanya seakan sengaja memanjangkan kisah putus tunang bagi mempromosikan lagu terbaharunya, Di Matamu.

Menurut Sufian, Di Matamu telah terlebih dahulu disiapkan pada Mac tahun lalu dan hanya secara kebetulan ia akan dilancarkan pada 23 Mac ini.

“Lagu ini dah ditulis pada Mac tahun lepas lagi. Apa yang berlaku kepada saya baru-baru ini tiada kaitan dengan lagu ini.

“Mengenai dakwaan mengatakan saya sengaja panjang-panjangkan kisah putus cinta untuk mempromosikan lagu itu adalah tidak betul.

“Bagi saya ia hanya kebetulan sahaja lagu itu akan dilancarkan menjelang hujung bulan ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis perkongsian santai radio ERA bersama media di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Sufian turut mengatakan dia enggan memikirkan soal cinta pada tahun ini kerana ingin memberikan fokus terhadap karier nyanyiannya.

“Ada banyak benda saya nak buat tahun ini, 2018 satu tahun yang sibuk untuk saya.

“Yang pasti soal cinta tidak termasuk dalam senarai itu. Saya tak merancang untuk punyai pasangan dalam masa terdekat.

“Putus tunang bukan bermakna saya tutup pintu hati untuk sesiapa. Pada saya jodoh dan ketentuan semuanya kerja Tuhan,” katanya lagi.

Menurut penyanyi lagu Terasa Ada ini lagi, dia yakin dan percaya pertunangannya putus di tengah jalan mungkin ada hikmahnya tersendiri.

“Ada orang kata ini karma (sebab memutuskan cinta dengan kekasih lama), tapi bagi saya ini mungkin peringatan daripada Allah untuk saya dan saya percaya benda ini semua berlaku mungkin Allah nak berikan yang terbaik bagi saya,” katanya.

Hubungan pertunangan Sufian dan Elfira disahkan telah putus oleh ibu aktres tersebut pada pertengahan bulan lalu.

Mereka sepatutnya dijadualkan diijabkabul pada 24 Mac ini.

Sufian dan Elfira bertunang di kediaman keluarga Elfira di Kuala Lumpur pada 6 Oktober tahun lalu selepas tiga bulan berkenalan rapat. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend