• FOLLOW US

Penerbit, Pengarah Munafik 2 Puas Hati Dengan Hukuman Kepada Pesalah

Penerbit filem pecah panggung Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berpuas hati dan berharap keputusan mahkamah yang mengarahkan pesalah untuk membayar RM100,000 kepada syarikat produksi miliknya, Skop Productions menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Hakim Mahkamah Majistret Taiping Asmadi Hussin hari ini mengarahkan Muhammad Izwan Shah Kamal Shah untuk membayar amaun tersebut kepada Skop Productions di atas kesalahannya menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman Instagram dan Facebook miliknya yang menggunakan nama Sasuke Kun.

“Saya berharap dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak main-main dengan perkara seperti ini.

“Menyebarkan hak cipta dan karya filem orang di laman sosial adalah satu kesalahan besar dan pihak saya hanya mengikut saluran undang-undang yang betul bagi membanteras perkara ini,” kata Yusof ketika dihubungi KopiPlanet.com sebentar tadi.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof ketika dihubungi berkata, dia berharap pihak kerajaan akan lebih mengetatkan undang-undang berhubung penyebaran filem secara haram di media sosial, termasuk juga cetak rompak yang masih lagi berleluasa sehingga kini.

“Saya harap selepas ini kerajaan akan meminda dan memperketatkan undang-undang berhubung perkara ini. Kalau boleh bukan sahaja didenda, tetapi juga dipenjarakan agar ia dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada semua orang di luar sana.

“Saya ambil tindakan ini bukan hanya untuk filem saya sahaja sebaliknya sebelum ini ramai juga pengarah dan penerbit yang pernah bercerita kepada saya mengenai filem mereka turut disebarkan di media sosial. Jadi, saya harap langkah ini membuka satu jalan agar kesalahan seperti ini tidak lagi dipandang ringan,” katanya.

Menurut Syamsul, sebelum mengambil tindakan menyaman Muhammad Izwan, pihaknya terlebih dahulu sudah memberi amaran namun lelaki tersebut langsung tidak mengendahkannya.

“Saya sebenarnya sudah berjumpa dengan Muhammad Izwan dan dia sudah pun memohon maaf ketika kami bertemu di mahkamah dan saya memaafkannya. Saya bila orang minta maaf, saya akan maafkan. Namun perkara ini saya buat ikut undang-undang sebab bila sudah bagi amaran sebelum ini dia tidak endahkan sehingga memaksa kami membawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Saya harap dengan keputusan mahkamah ini dapat membuka mata orang ramai bahawa menyebarkan filem di mana-mana platform laman sosial adalah satu kesalahan besar dan berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Thehitmannazri

KL Special Force: 4 Hari Tayang Dah Kutip RM4.7 Juta

Penerbit filem KL Special Force, Datuk Yusof Haslam mengesahkan filem bergenre aksi kepolisan itu sudah pun mencatat jumlah kutipan sebanyak RM4.7 juta sejak mula ditayangkan pada Khamis lalu.

Dengan sambutan yang baik yang diberikan penonton, Yusof juga memberikan kemungkinan filem itu akan kembali dengan siri keduanya selepas ini.

“Dah masuk empat hari ditayangkan KL Special Force sudah berjaya mencecah kutipan RM4.3 juta. Syukur Alhamdulillah, masih ada lagi penonton filem tempatan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penonton yang menyokong industri dengan menonton filem ini. Saya bangga dengan pencapaian Syafiq.

“InsyaAllah, saya tak boleh cakap sekarang (sequel) tapi kalau permintaan tinggi dan sambutan luar biasa untuk filem ini, InsyaAllah mungkin akan ada sequel nanti,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika dihubungi sebentar tadi.

Susulan komen positif yang diterima daripada penonton yang menjangkakan filem ini mampu mencecah kutipan sebanyak RM20 juta, Yusof berkata dia terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima namun enggan meletakkan sebarang sasaran untuk kutipan filem terbabit.

“Saya daripada dulu lagi tidak menyasarkan berapa jumlah kutipan untuk setiap filem yang dikeluarkan oleh Skop Productions. Kalau ada yang kata boleh cakap sampai tahap begitu, Alhamdulilah,” katanya.

KL Special Force yang diarahkan Syafiq Yusof berkisarkan sekumpulan anggota polis yang memburu geng perompak licik, Geng Anarkis.

Filem yang menelan belanja RM2.5 juta itu dibintangi Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Shaharuddin Tambi, Mahmud Ali Bashah, Sabrina Ali, Josiah Hogan, Ramona Zam Zam, Mustaqim Bahadon dan Liza Abdullah. – KopiPlanet.com

Yusof Haslam Puji Sinematografi Filem Makrifat Cinta

Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam memuji hasil kerja filem Makrifat Cinta yang disifatkannya mempunyai sinematografi menarik serta berbeza daripada kebiasaan filem Melayu yang lain.

Makrifat Cinta merupakan filem Melayu pertama arahan pengarah berbangsa India, Kamal G yang diterbitkan oleh Dhanawood Films Sdn Bhd.

Filem itu menampilkan ramai nama terkenal seperti Syamsul Yusof, Nora Danish, Nabila Huda, Adi Putra, Sabrina Ali, Puteri Balqis dan Datuk Aznil Nawawi.

“Selepas menonton filem ini pada tayangan perdana baru-baru ini, saya dapat simpulkan Kamal merupakan pengarah yang boleh buat filem Melayu. Percubaan pertama dia dalam filem Melayu berhasil dan berjaya.

“Saya puji bukan disebabkan anak saya berlakon dalam filem ini. Tapi Makrifat Cinta memang ada aura yang tersendiri menerusi jalan ceritanya yang bagus. Pembuatannya cantik dari aspek sinematografi dan jalan cerita,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com di pejabat Skop Productions di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pengarah berpengalaman ini, beliau melihat seni pembikinan filem Melayu kini bukan sahaja dipelopori oleh kaum Melayu sahaja sebaliknya beliau berbesar hati apabila penerbit berketurunan India dan Cina turut sama berminat menerbitkan filem-filem yang mana sasaran penontonnya adalah daripada orang Melayu sendiri.

“Tak kiralah orang Melayu, India mahpun Cina.  Kalau tengok dulu pun, filem Melayu diterbitkan oleh orang bukan Melayu.

“Dulu pun di Singapura, filem Melayu diterbitkan oleh bukan Melayu.  Asalkan karya yang dibuat itu sebuah karya yang baik untuk membangunkan industri filem tempatan, ia wajar disokong,” ujar beliau lagi.

Walaupun berpuas hati dengan penghasilan Makrifat Cinta, namun Yusof mengakui sukar untuk meramalkan sambutan penonton terhadap filem ini yang bakal ditayangkan pada 1 Februari nanti.

“Ia bukanlah kerja saya.  Bahkan untuk filem saya sendiri pun saya tidak pernah meletakkan berapa kutipan yang akan diperoleh.

“Cuma diharapkan, Makrifat Cinta akna dapat sambutan yang baik daripada penonton,” katanya lagi.

Makrifat Cinta merupakan sebuah filem kekeluargaan yang menunjukkan kesusahan hidup seorang lelaki bernama Mahathir lakonan Syamsul namun berkat usahanya akhirnya dia berjaya berdiri sama tinggi dengan kebanyakan jutawan tanah air. – KopiPlanet.com