FilemTerkini

Penerbit, Pengarah Munafik 2 Puas Hati Dengan Hukuman Kepada Pesalah

Penerbit filem pecah panggung Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berpuas hati dan berharap keputusan mahkamah yang mengarahkan pesalah untuk membayar RM100,000 kepada syarikat produksi miliknya, Skop Productions menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Hakim Mahkamah Majistret Taiping Asmadi Hussin hari ini mengarahkan Muhammad Izwan Shah Kamal Shah untuk membayar amaun tersebut kepada Skop Productions di atas kesalahannya menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman Instagram dan Facebook miliknya yang menggunakan nama Sasuke Kun.

“Saya berharap dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak main-main dengan perkara seperti ini.

“Menyebarkan hak cipta dan karya filem orang di laman sosial adalah satu kesalahan besar dan pihak saya hanya mengikut saluran undang-undang yang betul bagi membanteras perkara ini,” kata Yusof ketika dihubungi KopiPlanet.com sebentar tadi.

Sementara itu, pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof ketika dihubungi berkata, dia berharap pihak kerajaan akan lebih mengetatkan undang-undang berhubung penyebaran filem secara haram di media sosial, termasuk juga cetak rompak yang masih lagi berleluasa sehingga kini.

“Saya harap selepas ini kerajaan akan meminda dan memperketatkan undang-undang berhubung perkara ini. Kalau boleh bukan sahaja didenda, tetapi juga dipenjarakan agar ia dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada semua orang di luar sana.

“Saya ambil tindakan ini bukan hanya untuk filem saya sahaja sebaliknya sebelum ini ramai juga pengarah dan penerbit yang pernah bercerita kepada saya mengenai filem mereka turut disebarkan di media sosial. Jadi, saya harap langkah ini membuka satu jalan agar kesalahan seperti ini tidak lagi dipandang ringan,” katanya.

Menurut Syamsul, sebelum mengambil tindakan menyaman Muhammad Izwan, pihaknya terlebih dahulu sudah memberi amaran namun lelaki tersebut langsung tidak mengendahkannya.

“Saya sebenarnya sudah berjumpa dengan Muhammad Izwan dan dia sudah pun memohon maaf ketika kami bertemu di mahkamah dan saya memaafkannya. Saya bila orang minta maaf, saya akan maafkan. Namun perkara ini saya buat ikut undang-undang sebab bila sudah bagi amaran sebelum ini dia tidak endahkan sehingga memaksa kami membawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Saya harap dengan keputusan mahkamah ini dapat membuka mata orang ramai bahawa menyebarkan filem di mana-mana platform laman sosial adalah satu kesalahan besar dan berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Thehitmannazri

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button