• FOLLOW US

Selepas Ditipu Jutaan Ringgit, Shuib Bangkit Dengan Bubble Bee

Di sebalik tawa dan senyuman yang ditunjukkan oleh pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib, tiada siapa menyangka suami kepada Siti Sarah ini melalui ujian hebat pada awal tahun ini sehingga menyifatkan 2019 sebagai tahun unik buatnya.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, pada awal tahun lalu dia telah ditipu oleh seorang individu yang menyeleweng duit syarikat berjumlah jutaan ringgit.

Katanya, tidak lama mendapat tahu mengenai perkara tersebut, seorang demi seorang yang berada di dalam syarikat tersebut meletakkan jawatan.

“Secara jujurnya, saya mengendalikan banyak perniagaan dan yang paling meletup tentulah perniagaan berasaskan madu di bawah jenama Bee Factory. Kami bermula sekitar tahun 2017 dan pada tahun pertama, kami berjaya membuat keuntungan sehingga RM8 juta.

“Apabila masuk tahun kedua, saya mula alpa dan leka dengan hanya memantau perniagaan tersebut dari jauh. Akibat kesilapan dan kealpaan saya, pendapatan syarikat mula turun mendadak sehinggalah saya mendapat tahu mengenai penyelewengan wang syarikat,” katanya yang baharu sahaja melancarkan kedai minuman berasaskan madu Bubble Bee di Shah Alam baru-baru ini.

Tambah Shuib, dia kemudiannya ke pejabat mereka di Wangsa Maju dan terduduk melihat keadaan pejabat yang kosong dan bersepah. Di tambah pula dengan lambakan stok madu, sebelum mengambil keputusan untuk berpindah.

“Bila saya buka akaun syarikat, saya lihat ada hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, hutang sana sini. Mengenang betapa bestnya saya bermula, saya tak sangka akhirnya saya hadap sendiri dan keadaan sangat teruk. Bagaimanapun saya ambil keputusan tidak panjang hal ini dan anggap segala yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya.

Kegagalan dan dugaan itu ternyata punya hikmah tersendiri apabila Shuib terfikir untuk membuka perniagaan minuman berasaskan madu, Bubble Tea.

Sebagai permulaan, Shuib membuka cawangan pertama di Menara U2, Shah Alam dan merancang untuk menjadikan ia sebagai perniagaan francais termasuk mengembangkan ia ke luar negara.

“Saya adalah peminat boba tea dan bagi saya minum itu menjadikan kita ketagih. Jadi saya terfikir inovasikan ia menggantikan gula dengan madu.

“Setakat ini kami tampilkan 14 jenis minuman dengan harga RM6.90 hingga RM14.90. Harga tersebut masih munasabah dan mampu milik untuk semua peminat minuman ini.

“Melihat pada potensi dan permintaan, kami rancang untuk buka di negeri lain dan kemudian bawa produk dan jenama ini ke luar negara,” katanya yang yang membuka bersama seorang rakan kongsi. – KopiPlanet.com

Berlumba Kereta Cara Shuib Hilangkan Tekanan Kerja Seharian

Pelakon dan pelawak terkenal, Shuib menyatakan dia semakin jatuh cinta dengan hobi terbaharunya iaitu berlumba kereta.

Menurut suami kepada penyanyi Siti Sarah Raisudin ini, dengan berlumba kereta ia dapat menghilangkan tekanan dan bebanan tugas sehariannya.

“Pengalaman berlumba banyak mengajar saya untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara selain ia dapat menghilangkan tekanan seharian. Apa yang penting, berlumba dengan saluran yang betul serta sentiasa pastikan keselamatan terjamin.

“Selain itu, doktor juga turut berpesan supaya saya pastikan rehat dan tidur sentiasa cukup walaupun sibuk dengan kerjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut melahirkan keterujaannya apabila jaguh motosikal bertaraf dunia, Hafiz Syahrin mengucapkan tahniah kepada Shuib atas kejayaannya pada siri perlumbaan di Sepang 1,000 km Endurance Race baru-baru ini.

Shuib ketika berkongsi perkara itu berkata, dia tidak menyangka penunggang motosikal yang pernah mengharumkan nama negara pada kejohan Moto GP antarabangsa, mengikutinya dan menyokong penyertaan kali pertamanya.

“Saya terkejut dan terharu, Hafiz nama besar dalam arena perlumbaan motosikal dan dia pula rupanya ikuti percubaan pertama saya dalam perlumbaan kereta anjuran Toyota Gazoo Racing.

“Memang bagi semangat betul, berkobar-kobar nak berlumba lagi, lagi best kalau dapat cuba motosikal pula dengan Hafiz,” katanya.

Hafiz pada muat naik yang dikongsi Shuib di laman Instagramnya baru-baru ini mengucapkan tahniah atas kejayaan pelakon dan pelawak itu mendapat tempat ketiga pada perlumbaan di Sepang.

Berkongsi pengalaman pertamanya sebagai pelumba kereta, Shuib berkata, dirinya memang teruja kerana minat dalam bidang itu sejak kecil.

“Saya ingin berterima kasih kepada 23 Motor yang membawa saya pada perlumbaan kali ini dan menjadikan impian saya satu kenyataan.

“Juga syarikat saya HJ Motor dan pasukan yang sama-sama jayakan perlumbaan saya kali ini,” katanya. – KopiPlanet.com

Suka Tayang Kereta Mewah Di Media Sosial, Shuib Nafi Bersikap Riak

Jika anda pengikut laman Instagram pelawak dan penyampai radio Shuib, pasti melihat beberapa muat naik gambarnya bersama kereta mewah.

Menurut suami kepada Siti Sarah Raisuddin ini, niatnya hanya mahu berkongsi minatnya terhadap kereta berkenaan.

“Bukan niat saya menunjuk-nunjuk, tapi berkongsi apa yang memang saya suka. Kalau ada yang tidak suka atau tak selesa, jangan ‘follow’ saya.

“Semuanya disebabkan minat dan apabila minat saya berusaha serta bekerja keras. Apa yang saya buat adalah untuk memotivasi diri saya,” ujarnya.kata penyampai radio Hot FM itu.

Tindakannya itu mengundang rasa tidak senang netizen apabila ada yang menempelak pengacara, pelakon dan pelawak itu yang disifatkan sebagai riak dan suka menunjuk-nunjuk.

Malah, ada yang tidak selesa dan berasakan Shuib bagaikan terikut-ikut sesetengah pihak yang sengaja mahu menayang kemewahan mereka di laman sosial.

Antara gambar yang bertebaran di laman sosial ialah Shuib bersama koleksi kereta mewah seperti McLaren 650s, Porsche GT4, Camaro Chevrolet, Mustang dan Dodge Challenger SRT.

Menerusi carian di laman web pula menunjukkan harga kereta berkenaan mencecah lebih jutaan ringgit mengikut pasaran.

Setiap perkongsi muat naik kereta itu turut mendapat reaksi rakan artis yang rapat dengannya seperti Nabil Ahmad dan Zizan Razak.

Perkongsian itu juga mendapat lebih 200 ribu tontonan dan hampir 100 ribu tanda suka daripada pengguna Instagram.

Sebelum ini, media pernah menebak dirinya sebagai jutawan, namun Shuib merendah diri dan menafikan perkara itu. – KopiPlanet.com

Bisnes Sudah Stabil, Shuib Akhirnya Kembali Ke Konti Radio

Pelawak Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 35, menyatakan keterujaannya apabila dapat kembali semula ke konti radio selepas dia dilantik sebagai muka baharu penyeri segmen Geng Pagi Hot di Hot FM.

Menurut suami kepada Siti Sarah Raisuddin ini, sebaik ditawarkan bergelar penyampai di stesen radio itu dia tanpa berfikir panjang terus menerima kerana merindui suasana bekerja dalam konti radio.

“Ketika ditawarkan memang saya berasa cukup teruja sebab sudah pasti saya merindui untuk masuk semula ke konti radio lebih-lebih lagi saya bergandingan dengan Syuk dan Fizi, yang mana tidak sukar untuk kami ciptakan keserasian di antara satu sama lain.

“Macam dengan Syuk, saya memang sudah selalu bekerjasama dengan dia menerusi program-program lawak dan bila kali ini dapat berada dalam satu konti, memang impian saya tercapailah sebab pernah borak dengan dia nak duduk dalam satu konti bersama-sama,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.

Shuib sebelum ini pernah bergelar penyampai radio Sinar FM namun meletakkan jawatan kerana ingin memberi perhatian terhadap bidang perniagaan madu yang diceburinya.

“Saya tahu ramai akan bercakap pasal benda ini kenapa saya kembali semula ke radio selepas berhenti kerana nak fokus pada perniagaan. Saya terima tawaran ini selepas saya melihat perniagaan sudah semakin stabil selain ia diuruskan secara ‘auto-run’ malah isteri pun menyokong keputusan saya untuk kembali bergelar deejay.

“Rakan pelawak dan bekas rakan sekerja seperti Jep dan Rahim turut memberi sokongan lepas saya beritahu mereka yang saya akan kembali ke konti malah Ajak pun turut mengucapkan selamat maju jaya bila dia tahu saya akan menggantikan tempatnya, ” jelasnya.

Bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi, Shuib mengakui dia merupakan seorang ‘morning person’ dan tidak sukar untuk bangun pagi.

“Saya memang seorang yang tidak susah bangun pagi. Saya selalu bangun jam 6 pagi dan lepas dah jadi deejay balik ini saya kena bangun jam 4 pagi dan ia bukan satu bebanan buat saya,” katanya.

Bercakap mengenai bisnes, selain perniagaan madunya yang semakin berkembang maju, Shuib kini terus melangkah dengan produk kosmetik dan produk menghalau serangga yang akan dipasarkan dalam masa terdekat ini. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Shuib

Buat Masa Sekarang Siti Sarah Selesa Dengan Imej Berturban

Sejak pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada bulan lalu, penyanyi Siti Sarah Raisudin, 34, tampil dengan imej lebih sopan mengenakan tudung dan turban pada setiap kali membuat kemunculan di mata umum.

Menurut Sarah, dia kini berasa lebih selesa menggayakan imej terbaharunya itu dan mengharapkan doa daripada peminat agar dirinya istiqamah dengan perubahan tersebut.

“Doakan saya… Sejak balik dari umrah belum ada rasa nak buka (tudung).

“Apa-apa pun saya masih belajar (untuk menyesuaikan diri dengan imej bertudung),” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sarah ditemui ketika menjayakan Special Showcase Siti Sarah bertempat di Matic, Kuala Lumpur semalam.

Persembahan yang dibawakan khas oleh Pinky Pinky itu menyaksikan ibu anak tiga ini menyampaikan seleksi lagu popularnya di hadapan 300 peminat setianya.

Ketika ditanya adakah dia selesa bertudung ketika berada di atas pentas membuat persembahan, Sarah berkata, “Alhamdulilah saya selesa dengan imej ini dan buat masa sekarang saya selesa pakai turban.

“Untuk bertudung, Sarah akan cuba perlahan-lahan sebab yang penting bagi Sarah solat itu yang penting untuk diutamakan,” ujarnya.

Sementara itu, suami Sarah, pelawak dan pelakon Shuib mengakui dia senang hati melihat perubahan positif isterinya dan berharap ia akan terus kekal selama-lamanya.

“Saya suka dengan perubahan Sarah dan tidak dapat dinafikan dia memang kelihatan sangat cantik bila memakai tudung,” katanya.

Special Showcase Siti Sarah yang dibawakan khas oleh Pinky Pinky dan Indigital Music turut menampilkan artis undangan seperti Shuib, bapa Sarah, Raisudin Hamzah, Mark Adam dan Dafi.

Antara seleksi lagu yang dihidangkan Sarah buat peminat setianya seperti Jangan Kau Mimpi, Kesetiaan, Tinggalkan Diriku dan single terbaharunya ciptaan Shuib berjudul Semakin.

Dalam persembahan berdurasi dua jam itu Sarah turut menyanyikan tiga lagu medley daripada idolanya iaitu Whitney Houston, Toni Braxton dan Mariah Carey berjudul Will Always Love You, Unbreak My Heart dan My All. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Siti Sarah & Indigitalmusic

“Masa Sakit, Dah Siap-Siap Minta Maaf Pada Shuib”

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin mendedahkan dirinya sudah awal-awal lagi memohon maaf kepada suaminya, Shuib Sepahtu sebelum dirinya dikejarkan ke hospital.

Sarah dimasukkan ke hospital minggu lalu disebabkan tahap kesihatannya merosot sehingga menyebabkan tekanan darahnya rendah.

Menurut penyanyi genit berusia 33 tahun itu, ini merupakan pengalaman pertamanya mengalami kesakitan sehinggakan menyebabkannya terpaksa dimasukkan ke dalam wad.

“Saya rasa macam tak sihat badan sejak beberapa hari sebelum itu tapi saya tak hiraukan.

“Tak sangka jadi teruk bila dah nak tidur malam itu badan rasa tak sedap. Nasib baik cepat ke hospital.

“Sebelum dikejarkan ke hospital, saya dah siap-siap minta maaf kat Shuib, sebab saya tak pernah rasa sakit teruk macam ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sarah ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan rambut Sugardoll di Flora Terrace di ibu kota hari ini.

Pengasas Sugardoll, Nabilah Nazib telah memeterai Sarah selama setahun bergelar duta untuk produk penjagaan rambut itu.

Doktor mengatakan tekanan darahnya rendah berpunca daripada kesibukannya sehingga tiada masa untuk merehatkan diri.

“Saya dimasukkan ke hospital sehari sahaja, saya jenis tak suka duduk lama-lama di hospital.

“Saya akui saya memang jenis tak displin ambil makanan tambahan serta vitamin dan ia antara sebab-sebab saya mudah letih dan penat. Di hospital saya cuma dapat rawatan masuk air dan doktor nasihatkan agar rehat secukupnya,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Sarah berkata Shuib sebenarnya panik dengan keadaan yang menimpanya namun suaminya pandai menyembunyikan perasaannya pada ketika itu.

Selain itu, Sarah turut menafikan dakwaan mengatakan dia dimasukkan ke hospital disebabkan diet melampau.

“Saya tak diet melampau, kalau nak tahu saya memang kaki makan. Kena makan, tak makan itu bunuh diri namanya.

“Saya masuk hospital sebab kepenatan mana ada disebabkan diet melampau,” jelasnya lagi. – KopiPlanet.com