
Tak Mahu Terburu-Buru, Juliana Evans Hargai Momen Berdua Bersama Suami
Pelakon dan pengacara Che Puan Juliana Sophie Johari Evans atau Juliana Evans mengaku sudah bersedia untuk menerima kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.
Menurut Juliana, 30, beliau seorang yang sangat teliti dalam melakukan perancangan keluarga.
“Sebenarnya, saya tidak mahu terburu-buru. Saya percaya setiap pasangan pasti mempunyai perancangan dalam keluarga dan suami sangat memahami situasi saya.
“InsyaAllah, jika sampai masa, saya akan membuat pengumuman tentang kehadiran buah hati kami dan sudah pasti saya dan suami tidak akan menolak anugerah Tuhan.
“Tahun lepas saya banyak pergi berbulan madu kerana nak menghargai momen berdua bersama suami,” kata Juliana kepada KopiPlanet.com
Juliana ditemui pada majlis tayangan perdana filem Bella & Jamie yang berlangsung di GSC Pavilion, Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, Juliana yang merupakan isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah mendedahkan beliau sering membuat rujukan tentang pemilihan watak terhadap suami.
“Dari segi pemilihan watak, saya selalu menanyakan kepada suami tentang karakter apa yang sesuai untuk dilakonkan.
“Suami nak saya lakonkan watak yang tidak berkisarkan tentang cinta dan saya juga suka memegang karakter yang berlainan daripada biasa dilakonkan,” ujarnya.
Sementara itu, Juliana mengulas tentang pengalaman sepanjang berada di lokasi pengambaraan ketika bekerjasama dengan rakan baiknya, Liyana Jasmay.
“Sejujurnya, saya berasa sangat selesa berganding bahu bersama Liyana kerana kami berkawan baik lebih dari 10 tahun.
“Jadi kami saling memahami dan sentiasa memberi sokongan serta nasihat antara satu sama lain malah pemikiran kami pula matang dalam perhubungan sebagai persahabatan,” katanya.
Bella & Jamie akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini. – KopiPlanet.com
Artikel : Syafiqah Othman
Pelajar Praktikal : UiTM Puncak Perdana