
Tampil Dengan Single Baharu, Akhirnya Kamu Beri Makna Sangat Mendalam Buat Bella Astillah
Bella Astillah, nama terkenal dalam dunia hiburan tanah air. Meskipun pernah melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi, bintang ini tetap teguh berdiri, terus mengorak langkah sebagai seorang penyanyi dan pelakon yang berbakat.
Daniesh Suffian, seorang penyanyi, komposer dan pelakon di Malaysia. Daniesh juga terkenal dengan lagu popularnya Terabadi dan Pilihlah Aku. Bella dan Daniesh bergabung tenaga dalam single duet terbaharu “Akhirnya Kamu”, sebuah lagu yang membawa mesej kebahagiaan, ketulusan, dan kesabaran dalam menempuhi kehidupan serta percintaan.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Bella dan Daniesh bersama Azlan Abu Hassan dan Omar K yang turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan karya yang indah dan penuh emosi ini.
Menurut Bella Astillah, “Akhirnya Kamu” mempunyai makna yang sangat mendalam dalam kehidupannya. “Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana seolah-olah sebahagian diri saya dizahirkan melalui lagu ini.
Ia juga menjadi lagu manis saya sendiri, sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sering minta saya bawakan lagu yang membahagiakan.”
Bella menjelaskan bahawa proses rakaman dan kerjasama dengan Daniesh sangat mudah. “Daniesh memahami suara dan cita rasa saya. Kami bekerjasama secara profesional untuk memastikan hasil akhirnya terbaik, dan kami sangat berpuas hati dengan keputusan akhir.”
Tentang mesej lagu ini, Bella menambah bahawa “Akhirnya Kamu” membawa tema kesabaran dalam kehidupan. “Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, sebab itu kesabaran itu penting.
“Kebahagiaan akan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk jadikan kita lebih kuat dan membuka ruang kepada orang yang betul untuk hadir dalam hidup kita.”
Kali ini, Bella Astillah mengambil langkah untuk keluar daripada zon selesanya. Meskipun beliau lebih dikenali menerusi lagu-lagu yang penuh emosi, lagu ini membawa kelainan “Kebiasaannya saya nyanyi lagu yang fierce, tapi ramai peminat minta lagu yang happy dan sweet. Jadi lagu ini memang saya tujukan untuk mereka.”

Sementara itu, Daniesh mendedahkan bahawa idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus daripada permintaan para peminat yang mahukan lagu duet rasmi antara mereka berdua. “Sebelum ini kami banyak buat cover lagu, jadi ramai yang minta kami keluarkan lagu bersama. Dari situ, idea ‘Akhirnya Kamu’ mula berkembang,” jelas Daniesh.
Tambahnya lagi, dalam salah satu sesi siaran langsung di TikTok, beliau berkongsi bahawa lagu ini ditulis ketika Bella melalui detik paling sukar dalam hidupnya. Daniesh menjelaskan bahawa tujuan utama penulisan lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan, dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi segala cabaran yang datang.
Bagi Daniesh, pengalaman menghasilkan muzik video untuk lagu ini juga sangat bermakna. “Rakaman MV ini sangat menyeronokkan, extras yang sporting, lokasi cantik, shot pun menjadi, dan team production sangat profesional. Semua itu buat hasil akhir melebihi jangkaan saya.”
Mengenai jalan cerita MV “Akhirnya Kamu”, Daniesh menjelaskan, “Ia mengisahkan dua individu yang pernah terluka dan menutup pintu hati selepas pengalaman cinta lalu. Namun, pertemuan pertama mereka kali ini menghadirkan rasa yang berbeza, seolah-olah inilah cinta sebenar yang mereka cari selama ini.”
“Akhirnya Kamu” bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga simbol kekuatan, harapan dan penghargaan terhadap perjalanan hidup. Ia menggambarkan bahawa setiap luka dan kesabaran akan akhirnya membawa kepada sinar yang dinanti.
“Akhirnya Kamu” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia sejak 6 Oktober lalu. – KopiPlanet.com