
Filem terbitan Skop Productions dan President Productions, Munafik 2 telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.05 juta bagi tayangan awal (sneak preview).
Dengan jumlah kutipan tersebut, filem arahan Syamsul Yusof itu mencipta rekod tersendiri iaitu jumlah kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan.
Jumlah kutipan itu turut disahkan oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam dengan merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Syamsul berkata, “Saya hilang kata-kata, hanya mampu cakap Alhamdulillah. Jutaan terima kasih saya ucapkan di atas sokongan penonton.”
“Saya harap momentum ini akan berterusan. Mencipta rekod kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan adalah di luar jangkaan saya.
“Saya terima dengan penuh syukur. Tak sia-sia pengorbanan saya dan pasukan produksi dalam menyiapkan filem ini apabila dihargai peminat sebegini rupa,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.
Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta. – KopiPlanet.com