
Terima Darjah Kebesaran DIMP, Pelakon Razak Ahmad Kini Bergelar Dato
Pelakon popular, Razak Ahmad kini bergelar Dato setelah menerima darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 KDPB Sultan Pahang yang diadakan di Istana Abdulaziz hari ini.
Perkara berkenaan telah dikongsikan sendiri oleh pelakon berkenaan menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya.
“Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- mustafa billah shah atas penganugerahan gelaran Dato’ yang amat bermakna ini.
Ujar pelakon berkenaan, penganugerahan tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan peribadi, tetapi juga satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, tanggungjawab, dan dedikasi.
“Saya menerima gelaran ini sebagai dorongan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa, dan negara dengan lebih tekun dan ikhlas. Terima kasih juga kepada keluarga tersayang, rakan-rakan, dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini.
“Tiada kejayaan yang datang tanpa kerjasama, kepercayaan dan kasih sayang dari insan-insan yang hebat di sekeliling saya. Semoga saya terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya. – KopiPlanet.com




