DramaTV

The Bridge Musim Kedua Tampil Barisan Pelakon Empat Negara

Setelah mendapat sambutan hangat pada musim pertama, perkhidmatan video OTT terkemuka serantau dari PCCW Media Group, Viu dengan lebih daripada 41 juta pengguna aktif bulanan mengumumkan bahawa 10 episod musim kedua siri Endemol Shine Group berjudul The Bridge yang dihasilkan oleh Viu dengan kerjasama HBO Asia Original akan mula ditayangkan di Viu, HBO GO dan HBO di seluruh Asia pada hari ini (15 Jun).

Ketua Produksi Viu Original Indonesia dan Malaysia, Sahana Kamath berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat menampilkan bakat terbaik Asia kepada penonton kami di kesemua 16 pasaran.

“Penceritaan yang mendalam dan menarik di musim kedua ini kembali lagi dengan barisan para pelakon yang mengagumkan dari seluruh Asia Tengara.

“Ia merupakan produksi serantau yang sebenar dengan penceritaan yang lebih menarik dan kali ini lebih mendalami setiap watak dengan setiap aksi bergerak lancar ke tiga buah negara berbeza dalam kisah misteri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Sahana, pihaknya percaya bahawa penonton akan menikmati musim kedua The Bridge yang lebih berani ini dan semestinya ianya bakal membuat penonton lebih beremosi.

Jelasnya, siri hebat yang telah memenangi pelbagai anugerah itu kembali lagi dengan Rebecca Lim dari Singapura dan Bront Palarae dari Malaysia dengan watak yang sama.

“Untuk musim kedua ini, barisan pelakon bertambah meriah dengan kemunculan bakat-bakat dari Indonesia dan Filipina seperti Ario Bayu (Indonesia) yang melakonkan watak sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang yang mempunyai agenda tersembunyi.

“Melengkapkan lagi barisan pelakon serantau yang mengagumkan ini adalah Wan Hanafi Su, Fikri Ibrahim dan Chew Kin Wah dari Malaysia, manakala Lukman Sardi, Amanda Manopo dan Miller Khan (Indonesia), Adrian Pang (Singapura) dan Joseph Marco (Filipina). Selain itu, pengarah TJ Lee dan Jason Chom kembali lagi bersama Zahir Omar,” ujarnya.

Diadaptasi dari siri original Endemol Shine dan disuntik dengan elemen tempatan, The Bridge musim kedua kembali semula selepas setahun siri musim pertama ditayangkan. Kapal layar yang didaftarkan di Singapura hanyut di persisiran negeri Johor dengan mayat sebuah keluarga warga Indonesia di atas kapal tersebut.

Hasil dari penyiasatan pembunuhan bersiri yang menyusuli kejadian ini, watak-watak dalam kisah ini terperangkap dalam pengkhianatan, tipu muslihat dan tragedi peribadi. Lebih gelap dan lebih rumit daripada musim sebelumnya, musim baru ini disulami dengan tema rasuah, dendam dan berlatar-belakangkan dunia gelap yang sinonim di rantau Asia.

Sementara itu, Ketua HBO Asia Original Production, WarnerMedia Entertainment Network & Sales, Asia Tenggara, Pasifik dan China, Jessica Kam berkata WarnerMedia terus menyentuh penonton dengan menyusun semula kandungan asal dalam keadaan yang sememangnya luar biasa ini.

“The Bridge musim kedua ini telah memperkenalkan dimensi Indonesia kepada adaptasi Singapura/Malaysia dan telah meningkatkan taraf dan nilai produksi dari siri sebelumnya, menjadikannya lebih besar dan baik.

“Kami menghargai kerjasama berterusan dengan Viu untuk menghasilkan program serantau yang berkualiti untuk peminat kami di Asia,” jelasnya.

Bagi Pengarah Eksekutif Asia, Endemol Shine International, Rashimi Baipai menyatakan mereka gembira menyaksikan bagaimana The Bridge terus melangkaui bahasa dan budaya, menghiburkan penonton di seluruh dunia.

“Siri The Bridge Versi Asia ini telah menyatukan budaya, kreatif dan daya tarikan komersial dalam menyampaikan penceritaan dan menimbulkan reaksi bertenaga dari penonton secara menyeluruh,” ujarnya.

The Bridge akan ditayangkan pada jam 9 malam waktu Singapura dan Malaysia, jam 8 malam di Indonesia Barat dan Thailand serta disiarkan secara langsung di semua pasaran dengan satu episod baharu produksi akan ditayangkan setiap minggu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button