FilemTerkini

This Is Pilah: The Movie Papar Kisah Masyarakat Negeri Sembilan

Mengangkat tema Adat Pepatih, filem This Is Pilah: The Movie yang diilhamkan daripada suku kaum penduduk di Negeri Sembilan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula bulan hadapan.

Menurut pengarahnya, Rosdi Md Dali, filem ini  100 peratus digarap menggunakan dialek Negeri Sembilan.

“Uniknya filem This Is Pilah ini kerana ia sepenuhnya menggunakan dialek Negeri Sembilan. Kesemua pelakon yang dipilih juga mempunyai asal-usul dari sini, sekali gus membuatkannya filem ini harus ditonton semua pihak,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Menurut Rosdi, penggambaran filem ini dilakukan sepenuhnya di Kuala Pilah dan hanya mengambil tempoh masa selama 16 hari sahaja.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mengarah filem, sebelum ini saya lebih banyak mengarah drama. Jadi ia memberi satu pengalaman baharu buat saya.

“Penggambaran berjalan lancar hasil kerjasama semua krew dan para pelakon yang sangat komited dan profesional sepanjang kami shooting pada bulan September tahun lalu,” katanya.

Antara cabaran sepanjang mengarah This Is Pilah, Rosdi berkata, “Bahasa yang digunakan adalah sepenuhnya dalam dialek Negeri Sembilan dan ia agak mencabar bagi saya kerana saya berasal dari Perak. Saya kena pastikan pelakon melontarkan dialog mereka dengan dialek yang betul dan disebabkan itu saya juga perlu belajar dialek tersebut.”

This Is Pilah yang diterbitkan Madness Films dibintangi oleh Juzzthin, Iesna Mohd Raus, Kazar, Joey Daud beserta penampilan khas Waris, Ito Blues Gang, Ustaz Syamsul Debat dan bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek.

This Is Pilah mengisahkan hasrat seorang pemuda di Kuala Pilah yang mahu memperisterikan gadis idamannya tetapi terpaksa berdepan dengan halangan bapa gadis itu kerana berasal dari suku yang sama. Agak-agaknya dapatkah mereka ‘melanggar’ adat untuk bersatu? – KopiPlanet.com

 

 

 

 

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button