
“Tiada Tokok Tambah, Saya Cerita Semua Benda Betul” – Ameng
Penyanyi Ameng menafikan cakap-cakap netizen di luar sana yang mendakwa dia sengaja menokok tambah dalam menceritakan pengalamannya di penjara agar ia kelihatan lebih menarik dan dramatik.
Menurut vokalis kumpulan Spring itu, semua cerita yang disampaikan olehnya adalah benar belaka seperti mana yang dialaminya sepanjang lima tahun menghuni di penjara.
“Apabila dijemput berceramah untuk menceritakan pengalaman di penjara pasti saya bercakap perkara yang benar-benar sahaja. Tiada tokok tambah untuk menyedapkan cerita. Mereka yang kata saya tokok tambah itu yang tak betul sebenarnya kerana mereka tak pernah masuk penjara.
“Memang betul saya dirotan 10 sebatan sekali gus serta tiada doktor dan sebarang ubat diberikan kerana ia bertujuan untuk memberi pengajaran kepada pesalah,” kata Ameng kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Spring di Restoran D’saji Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin bin Wan Ismail, 52, sebelum memberikan ceramah, dia terlebih dahulu bertanyakan kepada pegawai penjara tentang kandungan ceramah yang boleh dikongsikannya kepada umum.
“Saya sendiri bertanyakan kepada pegawai penjara apa yang boleh saya kongsi dan mereka memberi galakan agar saya menceritakan semua detik pahit ketika berada di dalam penjara agar ia boleh menjauhkan orang ramai daripada terlibat dengan kegiatan jenayah.
“Saya perlu bercerita agar orang menjauhi penjara. Ini pengalaman saya agar orang gerun nak masuk penjara, takut untuk buat salah, gerun dari hisap dadah, mencuri dan sebagainya,” katanya lagi.
Ameng turut menambah, kehidupan di penjara boleh diibaratkan sebagai neraka dunia apabila masa dirasakan bergerak terlalu perlahan sebaik disumbatkan di sebalik tirai besi itu.
“Ia bukan tempat kurungan semata-mata, tetapi penuh dengan undang-undang yang ketat. Undang-undang yang paling berat ialah apabila banduan ingkar perintah.
“Apabila disuruh dan kita tidak buat, ia bermakna kita ingkar perintah dan didenda masuk bilik gelap bawah tanah. Namun sepanjang lima tahun dalam penjara, saya tak pernah masuk bilik tersebut sebab sentiasa berkelakuan baik dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Dia menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor dan dibebaskan pada 14 Jun 2016 selepas menjalani hukuman selama lima tahun setengah.
Hukuman itu dipendekkan berikutan Ameng berkelakuan baik sepanjang menjalani tempoh hukuman.
Dalam pada itu, Ameng juga tidak menafikan dia pernah mengalami masalah kemurungan ketika tahun pertama dimasukkan ke penjara.
Bagaimanapun, selepas meluahkan masalahnya itu kepada pakar kaunseling penjara, Ameng mula positifkan diri dan semakin mendekatkan diri kepada agama.
“Yang paling penting sekali bimbingan dan pegangan Al-Quran kita. Sejak dekatkan diri dengan mengaji dan bersolat, hati saya jadi semakin tenang. Malah, saya pernah berpuasa selama setahun bagi menggantikan puasa-puasa yang sebelum ini pernah saya tinggalkan,” kongsinya. – KopiPlanet.com



