
Tidak Sampai Tiga Jam Dilancarkan, Jualan Pelitup Muka PU Riz & Neelofa Jenama Gholak Sudah Sold Out Sebanyak 220,000 Helai
Tidak sampai tiga jam dilancarkan, pelitup muka keluaran PU Riz dan Neelofa dengan menggunakan jenama Gholak habis terjual sebanyak 220,000 helai semalam.
PU Riz berkata, dia sendiri tidak menjangka sambutan yang amat menggalakkan terhadap produk keluaran syarikatnya iaitu Markaz Tijaari.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menjangkakan sambutan yang sangat menggalakkan. Kami baru sahaja lancar tiga jam dah kemudian sudah habis ditempah.
“Sepatutnya malam ini jualan dibuka kepada umum tapi dah habis ditempah. Bagaimanapun, tidak perlu bimbang kerana kita dalam usaha untuk menambah stok” katanya.
Sementara itu, PU Riz berkata, pelitup muka Gholak bermaksud ‘tertutup’ ini mempunyai empat lapisan yang berkualiti dan dapat mencegah penularan wabak Covid-19.
Jelasnya lagi, pihaknya juga merancang untuk menambah beberapa koleksi warna untuk keluaran akan datang.
“Pelitup muka keluaran kami ini mempunyai kebaikan tambahan iaitu empat lapisan berbanding kebanyakan yang dijual di pasaran.
“Kita dah rancang untuk keluar sejak Disember lalu tapi ambil masa sedikit disebabkan kami ingin pastikan ia betul betul berkualiti. Buat masa ini hanya warna putih dan InsyaAllah akan datang kami keluarkan pelbagai warna,” ujarnya.
Markaz Tijari sebelum ini mengeluarkan beberapa produk makanan tambahan dan pakaian yang turut mendapat sambutan menggalakkan.
Untuk rekod, Markaz Tijaari adalah usaha Ustaz Haris dan Neelofa membantu rakyat Malaysia terutama golongan suri rumah dan pelajar yang mahu menambah pendapatan. – KopiPlanet.com



