• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Tidak Serik Kahwin Lagi, Radhi OAG Nak Cari Wanita Berpurdah

Walaupun pernah melalui dua kali kegagalan dalam perkahwinan sebelum ini, vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali, 41, berkata dia tidak serik untuk mendirikan rumah tangga lagi di masa hadapan.

Namun, mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bukanlah menjadi keutamaan buat dirinya pada masa ini sebaliknya Radhi ingin memberikan fokus terhadap kerjaya seninya terlebih dahulu.

Radhi bagaimanapun tidak lokek berkongsi ciri-ciri gadis idamannya yang mana dia mendambakan bakal isterinya memakai purdah mengikut sunnah selain kuat pegangan agama.

“Ia perkara biasa untuk isi kekosongan hati dengan cari pengganti (isteri) tapi itu bukanlah keutamaan saya buat masa sekarang. Untuk jatuh cinta lagi bukan suatu perkara yang muda namun kali ini saya kalau boleh nak ‘demand’ (bakal isteri) yang terbaik dan kalau boleh nak si dia yang berpurdah mengikut sunnah serta yang kuat pegangan agama.

“Kalau boleh jika saya melangkah ke jinjang pelamin buat kali ketiga, saya harap ia akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Saya dah pernah melalui dua kegagalan sebelum ini dan kalau boleh tak nak perkara sama berulang lagi.

“Saya tahu bukan mudah nak cari wanita berpurdah pada masa kini, tapi kalau boleh saya memang nak wanita berpurdah sebab saya tak nak dedahkan dia kepada umum. Lepas ini kalau boleh saya hanya ingin bercakap mengenai hal kerjaya dan tidak mahu terlalu bercerita tentang hal rumah tangga,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Amal Pengasih yang berlangsung di Persatuan Pengasih, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Radhi lagi, kali ini dia ingin memberi fokus terhadap penghasilan album terbaharu OAG memandangkan hampir 10 tahun kumpulan itu tidak mengeluarkan album terbaharu.

“Mungkin ada hikmah dengan apa yang berlaku dalam perkahwinan saya sebelum ini. Dalam dua perkahwinan ini, saya tidak keluarkan album baharu dan saya rasa inilah masa terbaik untuk keluarkan album baharu. Mungkin Allah tarik suri hidup saya untuk saya lebih fokus kepada kerjaya selepas ini,” katanya secara berseloroh.

Radhi sebelum ini telah disahkan bercerai dengan isterinya, Nur Syahira Ayu Zahiri pada 25 Mac lalu. Pasangan ini berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini Radhi pernah berkahwin dengan pelakon drama, Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia 14 tahun. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend