• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Tuah Khai Bahar, Dari Smule Kini Ke Pentas Istana Budaya

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Perumpamaan itu tepat menggambarkan perjalanan seni Khai Bahar yang semakin meningkat naik.

Terbaharu, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 26, telah dilamar untuk menjayakan persembahan di pentas Istana Budaya pada 27 & 28 Mac nanti.

Menurut anak kelahiran Kangar, Perlis ini, ia merupakan impian setiap penyanyi tanah air untuk membuat persembahan di pentas berprestij itu dan dirinya cukup bersyukur diberikan peluang walaupun baharu empat tahun bergelar anak seni.

“Apabila saya ditawarkan untuk membuat persembahan di Istana Budaya, sudah tentu saya tidak menolak. Lagi-lagi peluang itu bukan selalu kita dapat.

“Sesuatu yang sangat besar dalam hidup dan kerjaya saya. Bukan saya sahaja, rasanya semua penghibur mengimpikan dan berangan untuk buat konsert di pentas itu.

“Saya tak takut dengan kritikan atau pandangan orang terhadap saya sebab apa yang saya nak hanyalah keluar dari kebiasaan. Memang saya masih baru dalam industri tapi dah orang beri peluang, saya akan cuba buat sebaik mungkin,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia di Bilik Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Konsert itu dianjurkan oleh syarikat produksi milik pelakon Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy iaitu Ogy Ventures.

Bercakap mengenai pemilihan Khai sebagai artis pertama yang mengadakan konsert di bawah produksinya, Ogy berkata penyanyi lagu Bayang itu mempunyai sesuatu yang boleh ditonjolkan kepada peminat seni tempatan.

“Saya cukup suka dengan suara dia yang lunak merdu dan dia ada persona dalam diri yang masih lagi belum digali sepenuhnya.

“Konsert sebegini yang dilatih di bawah pasukan yang dipertangungjawabkan boleh membuka mata buat penyanyi generasi baharu bagaimana seni persembahan pentas yang sebenarnya perlu mereka belajar.

“Untuk konsert ini, saya telah melantik Adeep Nahar sebagai guru vokal Khai dan saya ingin imej Khai nampak lebih ‘mahal’ ketika berada di atas pentas Istana Budaya itu nanti,” katanya.

Tiket berharga RM86, RM116, RM236, RM276, RM296, RM366, RM446 dan RM556 (meet & greet session) boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend