Rancangan TVTV

TV AlHijrah Anjur Anugerah Media Islamik Iktiraf Penerbitan Patuh Syariah

Sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan TV AlHijrah, pihak pengurusan stesen tersebut bakal menganjurkan sebuah majlis Anugerah Media Islamik (AMI) yang bertujuan untuk menghargai pelbagai cabang dan medium penerbitan berbentuk islamik dan patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif stesen tersebut, Namanzee Harris berkata kewujudan anugerah itu disifatkan perlu bagi mengiktiraf karya seni berbentuk Islamik yang sentiasa memberikan input bermanfaat buat masyarakat sejagat.

“Anugerah ini merupakan inisiatif daripada TV AlHijrah setelah kami melihat secara perlahan-lahan industri nasyid semakin dilupakan dan daripada situ timbul idea untuk mewujudkan Anugerah Media Islamik yang fokusnya mahu mengiktiraf segala jenis dan cabang penerbitan berunsur Islamik.

“Antaranya seperti daripada penerbitan media cetak, radio, media digital, buku, aplikasi telefon serta penerbitan lagu berunsurkan kerohanian dan nasyid.

“Malah, youtubers yang mempunyai kandungan video berunsur Islamik juga boleh menghantar pencalonan mereka untuk dinilai oleh panel juri yang akan dipilih oleh pihak kami nanti,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis Sembang Santai Ulang Tahun ke-10 TV AlHijrah yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Namanzee lagi, AMI dijadualkan berlangsung pada Disember ini yang mana satu sidang media akan diadakan kelak bagi menghebahkan tentang pencalonan serta sistem penjurian.

“Kami merancang untuk mengadakan AMI pada bulan Disember ini dan maklumat lanjut berkaitan anugerah ini akan kami maklumkan kelak. Menerusi perbincangan, setiap kategori akan disenarai daripada Top 20 yang mana akhirnya akan disenarai pendek kepada Top 5 pada malam anugerah itu nanti.

“AMI bukan berlandaskan kepada anugerah populariti sebaliknya kami melantik panel juri profesional yang akan menilai sendiri produk-produk Islamik yang dibawakan oleh calon-calon tersebut,” jelasnya lagi.

Selain daripada pengenalan AMI, TV AlHijrah juga bakal tampil dengan program realiti tv yang memberi fokus terhadap pencarian pasukan produksi rancangan bual bicara yang diberi judul BTS.

BTS bakal menyaksikan bagaimana sesebuah rancangan tv itu dihasilkan dan ia akan mencabar setiap peserta untuk berfikir luar kotak agar mendapat suatu hasil yang membanggakan.

“Jika selama ini kita banyak dihidangkan dengan program realiti pencarian penyanyi dan pelakon, kami tampil buat kelainan cuba mencari individu belakang tabir yang menggemudi penerbitan sesebuah program tv.

“Dari rancangan ini, penonton akan dapat melihat sendiri cabaran dan dugaan yang dilalui bagi menghasilkan sebuah program tv yang jarang sekali dipertontonkan kepada umum.

“Mengikut perancangan, BTS akan mula bersiaran pada bulan Januari tahun hadapan dan kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua terutama sekali daripada graduan bidang penyiaran,” ujarnya lagi.

Untuk info, TV AlHijrah merupakan stesen penyiaran pertama di Malaysia yang meletakkan garis panduan ‘patuh syariah’ sebagai syarat utama di dalam penerbitan dan tayangan sebarang jenis rancangan drama, telefilem, dokumentari, bual biacara dan lain-lain.

Ditubuhkan pada 1 November 2010, TV AlHijrah mempromosikan gaya hidup Islam di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Namun begitu, stesen tersebut beroperasi secara swasta dan digerakkan oleh kumpulan profesional daripada pelbagai latar belakang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button