• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Tya Arifin Tidak Lupakan Bidang Lakonan, Lebih Fokus Pada Keluarga

Pelakon utama filem M.O.X: Misi Operasi X kelahiran Indonesia, Tya Arifin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia kini sudah tidak lagi aktif dalam bidang lakonan.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu sehingga kini dia masih menerima tawaran, namun disebabkan komitmen terhadap keluarga dan perniagaan menyebabkan dia kelihatan seperti sudah ‘meminggirkan’ diri daripada bidang tersebut.

“Saya sebenarnya rindu untuk kembali aktif berlakon tetapi kini keutamaan lebih kepada keluarga dan perniagaan yang diusahakan. Saya tidak menutup peluang untuk sebarang tawaran lakonan yang ingin diberikan kepada saya. Saya seorang yang bersifat terbuka.

“Asalkan masa itu tidak bercanggah dengan tuntutan komitmen terhadap keluarga dan perniagaan, saya akan pertimbangkan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem M.O.X yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Tya turut berkongsi dia kini sering menghadiri kelas perniagaan dan keusahawanan bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuannya dalam bidang tersebut.

Ibu kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa itu juga berkata dia tidak menjadikan status sebagai seorang ibu sebagai penghalang untuknya menimba ilmu sedalam yang mungkin.

“Kalau ada masa, saya sekarang sering menghadiri kelas perniagaan dan terbaharu kelas yang dianjurkan abang Aziz M. Osman. Banyak juga ilmu-ilmu baharu diperolehi yang boleh dimanfaatkan di kemudian hari,” ujarnya.

Sementara itu, selain Tya, filem M.O.X: Misi Operasi X yang menjalani penggambaran pada 2016 itu turut dibintangi Ebi Kornelis, Zaidi Omar, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan Radhi Khalid.

Menurut Tya, dalam filem berkenaan dia membawakan watak  bernama Fifi yang merupakan kekasih kepada Don Pedro lakonan Ebi Kornelis.

“Tidak dinafikan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik berlakon dalam filem ini. Apatah lagi ia merupakan filem pertama saya sebaik sahaja bertapak di Malaysia.

“Biarpun terpaksa menunggu selama tiga tahun, saya gembira apabila akhir M.O.X: Misi Operasi X akan tayang juga di pawagam nanti,” ujarnya.

M.O.X: Misi Operasi X yang diarahkan Datuk Zulkiflee M. Osman dan diterbitkan Wallworld Pictures Sdn. Bhd itu bakal ditayangkan di 66 pawagam seluruh negara bermula 21 November ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend