Rancangan TVTV

Wann & Noorshila Amin Tersingkir, Enam Peserta Mara Ke Final GV 6

Perjuangan Wann dan Noorshila Amin terhenti apabila nama mereka diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV 6), malam tadi yang bersiaran langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.

Kegagalan dua penyanyi itu melayakkan enam lagi bintang iaitu Naqiu, Hady Mirza, Jatt Ali, Nurfatima, Sham Visa dan kumpulan One Nation Emcees mara ke peringkat akhir GV6 yang akan berlangsung pada 22 Disember ini.

Konsert separuh akhir diadili Datuk Ramli M.S dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap dan Datuk M.Nasir sebagai juri jemputan.

Dalam konsert itu, Wann menyanyikan lagu Dua Insan duet dengan Zarul Umbrella serta lagu solo Ku Gembira Di Sampingmu manakala Noorshila Amin mendendangkan lagu Dialah Di Hati duet bersama Ifa Raziah dan lagu solo, Kerna Terpaksa.

Wann, 49, ketika ditemui pihak media sebaik konsert berakhir berkata dia sudah dapat menjangkakan dirinya akan tersingkir pada malam ini.

“Saya memang dah jangka akan terkeluar malam ini sebab saya pun tahu kemampuan saya setakat mana.

“Saya anggap perkara ini ada hikmahnya sebab kalau saya masuk sehingga ke final, saya pasti tidak tahu macam mana bunyinya nanti kalau kena nyanyi rap untuk pusingan Battle.

“Bagilah genre lagu apa apa sekalipun, InsyaAllah saya boleh bawa, tapi kalau rap memang saya tak tahu hasilnya macam mana sebab itu saya kata ada hikmah di sebalik penyingkiran ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sementara itu, Noorshila Amin berharap penyingkirannya tidak akan membataskan rezekinya dalam bidang nyanyian selepas ini.

“Harapnya selepas ini, rezeki saya dalam bidang nyanyian akan lebih terbuka luas di samping saya akan meneruskan perniagaan rempah ratus yang sudah diusahakan sejak lima tahun lalu.

“Saya tak ralat (tersingkir) sebab ini adalah Gegar Vaganza, sebuah rancangan yang hebat tapi perancangan Allah lagi hebat,” katanya menutup bicara.

Artis Cili Padi pada minggu ini menjadi milik Hady Mirza yang membawa pulang wang tunai RM10,000.

Juara GV6 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah sumbangan SelamatBercuti.com dan trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula memenangi RM50,000 pakej percutian ke Korea Selatan dan trofi manakala tempat ketiga meraih RM30,000, pakej percutian ke Shanghai dan trofi.

Tempat keempat tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang RM20,000, pakej percutian ke Chiang Mai dan trofi, tempat kelima memenangi RM15,000, pakej percutian ke Ho Chi Minh dan trofi.

Tempat keenam membawa pulang RM10,000, pakej percutian ke Jakarta dan trofi.

Markah konsert separuh akhir:

Hady Mirza: 82%

Naqiu: 77%

One Nation Emcees: 71%

Nurfatima: 67%

Jatt Ali: 61%

Sham Visa: 60%

Wann: 57%

Noorshila Amin: 52% – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button