• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

YonnyBoii Pernah Dituduh Ambil Pil Kuda Disebabkan Terlalu Hiperaktif

Penyanyi dan komposer meningkat naik, YonnyBoii mengakui pernah dituduh mengambil pil kuda oleh rakan-rakan sebaya gara-gara perlakuannya yang hiperkaktif.

Enggan melayan fitnah tersebut, YonnyBoii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, mengambil pendekatan hanya berdiam diri agar khabar tidak benar itu berakhir sendiri.

“Walaupun ada segelintir yang menuduh demikian, saya biarkan sahaja. Kadang-kadang ada juga saya mengiyakan sebab malas nak panjangkan isu.

“Saya tahu jika dibalas atau dijawab, situasi akan jadi lebih buruk. Jadi lebih baik saya ambil pendekatan berdiam diri sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single duet Kelabu bersama Azlan Typewriter di ibu pejabat Universal Music Malaysia, Menara Symphony, Petaling Jaya hari ini.

Menurut YonnyBoii lagi, ramai tidak mengetahui dia sebenarnya menghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan atau Hiperaktif.

Malah dia pun baharu sahaja menyedari perkara tersebut tahun lalu selepas bertemu rakannya yang juga seorang doktor.

“Tak ramai yang tahu saya mempunyai penyakit ADHD. Saya sendiri pun baru tahu mengenai penyakit ini tahun lalu melalui kawan yang juga seorang doktor.

“Saya sedar memang kelakuan sedikit berbeza daripada rakan-rakan sebaya tapi tak sangka pula tingkah laku saya mempunyai kaitan dengan ADHD,” katanya lagi yang menyifatkan penyakit itu sebagai satu anugerah buatnya kerana ia memberikan ilham untuknya berkarya dengan lebih kreatif.

Sementara itu ketika ditanya mengenai single duet bersama Azlan, Kelabu yang diciptakannya itu, YonnyBoii berkata ia semuanya adalah berdasarkan kisah hidupnya yang pernah dibuli sejak berusia enam tahun lagi.

“Setiap bait lirik yang ada dalam lagu ini mempunyai kaitan dengan sejarah silam hidup saya yang pernah dibuli sejak kecil. Jadi saya nak buka mata orang untuk hentikan perbuatan membuli dengan menghayati lirik-lirik yang lahir daripada pengalaman mangsa buli itu sendiri,” ujarnya lagi.

Rakaman lagu Kelabu dibuat secara berasingan pada April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa di negara ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend