• FOLLOW US
Filem, Terkini

Z. Lokman Jadikan P. Ramlee Inspirasi Hasilkan Filem Komedi

Pengarah Zulfakar Lokman Islamiddin atau lebih dikenali sebagai Z. Lokman, 73, yang bakal tampil dengan filem terbaharu arahannya, Awang Gerudi menjadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai inspirasi untuk menghasilkan filem komedi.

Z. Lokman berkata, dia menjadikan legenda Seniman Agung itu inspirasi buat dirinya memandangkan kejayaan allahyarham menghasilkan filem komedi yang mendapat sambutan penonton.

“Kebanyakan filem-filem komedi yang dihasilkan allahyarham mendapat tempat di hati penonton dan masih lagi bertahan sehingga sekarang.

“Jadi, itu yang memberikan keyakinan kepada diri saya untuk terus menghasilkan filem komedi, termasuk Awang Gerudi yang akan menemui penonton hujung tahun ini,” ujarnya kepada KopiPlanet.com.

Sebelum ini, pengarah berkenaan sememangnya dikenali ramai dengan menghasilkan filem komedi era 80-an dan 90-an seperti Awang Spanar, Bujang Selamat, Cikgu Romantik, Minah Manja dan Cikgu Selayang.

Ujarnya lagi, dia percaya bahawa filem bergenre komedi masih lagi mendapat tempat di hati peminat dan menjadi pilihan penonton tempatan.

Menurutnya, dia memilih genre itu kerana ia lebih menghiburkan, selain enggan memberatkan fikiran penonton dengan plot cerita yang terlalu kompleks.

“Saya memang buat filem yang boleh berikan hiburan kepada penonton. Tak mahu penonton terlalu memikirkan jalan cerita yang berat, sebaliknya nak mereka relaks bila menonton filem arahan saya.

“Iyalah, dah seharian penat bekerja takkan nak bebankan mereka dengan cerita-cerita berat pula. Biar mereka santai-santai sahaja tonton filem,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Awang Gerudi yang merupakan filem ke-35 arahan Z. Lokman bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Disember ini.

Filem genre ‘komedi adventure’ ini dibintangi Zoey Rahman, Ika Nabella, Aprena Manrose, Abon, Mustapha Kamal, Accapan dan Zarina Zainuddin.

Mengulas mengenai pemilihan Zoey sebagai pelakon utama filem itu, Z. Lokman percaya Zoey mampu digilap sebagai pelakon yang boleh memainkan watak komedi.

“Saya percaya dengan istilah setiap pelakon yang selalu berlakon watak serius atau aksi boleh dibentuk menjadi pelakon komedi jika mereka diberi peluang.

“Misalnya, Zoey saya tengok boleh bawa watak komedi dengan baik. Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain yang sudah memberikan sepenuh komitmen untuk filem ini,” katanya lagi.

Filem terbitan KiraWang Sdn. Bhd ini mengisahkan tentang majikan Awang iaitu Tuan Tapa dan musuhnya, Tuan Amran berebutkan barangan berharga, gerudi emas.

Awang dan anak perempuan Tuan Tapa, Eda telah dihantar untuk menyiasat Tuan Amran di kilang miliknya bagi menjejaki gerudi emas yang dipercayai berada di tangan Tuan Amran.

Pelbagai konflik lucu tercetus sepanjang penggembaraan mereka mencari gerudi emas tersebut. Dapatkah mereka menemui gerudi emas yang dicari-cari itu? Sama-sama tunggu kemunculan Awang Gerudi di pawagam berhampiran anda. – KopiPlanet.com

 

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend