Cerita ArtisHiburan

Zizan Teruja Tapi ‘Takut’ Nak Berlakon Dengan Christine Hakim

Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak akan bergandingan dengan pelakon lagenda Indonesia, Christine Hakim menerusi satu projek drama usahasama Malaysia dan Indonesia berjudul Sepenggal Puisi.

Menurut Zizan, drama mini lapan episod itu akan diarahkan sutradara terkenal, Viva Westi yang sebelum ini pernah mengarah filem blokbuster Indonesia, Jeneral Soedirman.

“Pada bulan Ogos ini saya akan terbang ke Jogjakarta bagi membintangi drama Sepenggal Puisi. Buat masa ini saya masih menunggu skrip daripada pihak produksi.

“Penggambaran juga akan dilakukan di Kuala Lumpur pada bulan September nanti.

“Saya teruja tapi di samping itu ‘takut’ juga nak berlakon dengan Christine Hakim sebab dia seorang pelakon yang berpengalaman dan sangat ‘method’ di set penggambaran.

“Tapi rugilah kalau menolak sebab bila lagi nak dapat peluang berlakon dengan pelakon hebat dari seberang seperti Christine Hakim.

“Saya dapat watak dalam drama ini sebab penerbit cakap ia menggambarkan perwatakan saya selain filem ini memaparkan unsur-unsur kekeluargaan yang pastinya memberikan nilai positif kepada penonton,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zizan ditemui pada majlis pelancaran program slot Lawak Live: Jozan di Black Bull, Avenue K, Kuala Lumpur hari ini.

Setelah tujuh tahun ‘terpisah’, Zizan akhirnya kembali bergandingan dengan Johan menerusi program bual bicara, Lawak Live: Jozan yang akan menemui penonton bermula 24 Julai ini.

Menurut pengacara berusia 34 tahun itu, kemunculan bersama mereka adalah sebagai mengubati rindu peminat terhadap Jozan.

“Kami kembali bergandingan disebabkan permintaan daripada peminat yang nak kami disatukan semula dalam satu pentas.

“Saya pun dah lama tiada program bual bicara selain rindu nak bekerja dengan Johan,” katanya.

Program bual bicara yang bersiaran langsung selama satu jam itu akan membicarakan pelbagai topik seperti isu semasa, viral dan juga hiburan.

Lawak Live: Jozan terbahagi kepada pelbagai segmen seperti Perang Jantina, Bakat Ke Laut, Kita Ke Mahkamah, Lip Sync Battle, Horror Latah, Bual Bicara dan Hos vs Hos Challenge.

Lawak Live: Jozan akan bersiaran pada setiap hari Selasa bermula 24 Julai ini, jam 10 malam di saluran Astro Warna (132), Warna HD (124) dan platform digital Astro Go dan On Demand. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button