Cerita ArtisHiburan

22 Tahun Bertahan, Sheila On 7 Sedia Gegarkan Peminat Di Malaysia

Kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia dua tahun lalu, kali ini band gergasi dari Indonesia, Sheila On 7 (SO7) kembali menghiburkan peminat di sini menerusi satu persembahan berskala besar di Star Xpo Hall, Kenanga Fashion Mall (KWC), Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam ini.

Kumpulan yang dianggotai Duta selaku vokalis, Eross (pemain gitar), Adam (pemain bass) dan Brian (pemain drum) akan mempersembahkan seleksi 15 buah lagu hits yang menjadi siulan di kalangan peminat setia mereka.

“Kami akan persembahkan 15 buah lagu termasuk single terbaharu kami, Film Favorit dan kali ini ada kelainan daripada segi arrangement muzik.  Tunggu dan lihat sahaja nanti,” kata Duta mewakili rakan-rakannya ketika ditemui KopiPlanet.com di Kuala Lumpur, semalam.

Menjadi antara kumpulan yang sudah lebih dua dekad bertahan di dalam industri hiburan, SO7 dengan merendah diri menyifatkan perjalanan seni mereka masih lagi baharu dan hijau.

“Walaupun usia kumpulan ini sudah mencecah 22 tahun, tapi secara jujurnya masih banyak lagi yang kami perlu pelajari.

“Macam contoh, kami terbuka mendengar muzik baharu yang lain daripada trademark kami. Bukan hanya terhad dengar lagu-lagu dari era 90-an sahaja.

“Seperti sekarang kami cukup suka dengan lagu-lagu yang dibawakan Ed Sheeran dan Ellie Goulding tapi itu tak bermakna kami akan ubah gaya muzik yang menjadi signature SO7. Cuma kami ambil inspirasi daripada lagu-lagu semasa ini agar boleh bereksperimentasi dengannya,” ujar Duta lagi.

Mengakui sudah tidak lagi selincah dahulu di atas pentas disebabkan faktor usia, SO7 berjanji akan tetap memberikan persembahan yang cukup bertenaga sebagai hadiah buat peminat setia yang tidak henti-henti memberikan sokongan sejak mereka mula bertapak pada tahun 1996.

“Walaupun mungkin kami tidak selincah dahulu, tapi segala persiapan rapi sudah dilakukan dan harap-harapnya semua berjalan dengan lancar,” kata Eross.

Dalam konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam itu, penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu popular SO7 seperti Sephia, Bila Kau Tak Di Sampingku, Pria Terhebat, Seberapa Pantas, Melompat Lebih Tinggi dan tidak ketinggalan lagu yang mengangkat nama kumpulan ini di Malaysia iaitu Dan.

Sheila On 7 Live In Kuala Lumpur dianjurkan oleh No Fear Sdn Bhd & Shiraz Projects Sdn Bhd. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button