EventHiburan

3,000 Peminat Meriahkan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Ruffedge

Kumpulan R&B dan soul, Ruffedge ternyata membuat keputusan yang tepat apabila membuat kemunculan semula menerusi konsert ulang tahun ke-20 mereka baru-baru ini.

Kehadiran lebih 3,000 penonton sudah menunjukkan betapa Ruffedge dirindui oleh peminat setia mereka.

Memulakan tirai persembahan tepat jam 9 malam, Ruffedge yang dianggotai Azan Addin, 44, Cat Farish, 44, Mode, 43, Zain, 40 dan Sein, 35, menggegarkan pentas KL Live dengan lagu pembukaan Da Bomb.

Sebaik berkumandang, atmosfera KL Live terus bertukar apabila kesemua penonton turut menari mengikut gerak tari Ruffedge yang masih lagi berbisa. Persembahan kemudiannya diteruskan dengan lagu hits, Tiada Lagi Cinta yang turut di ‘sing along’ oleh penonton yang cukup teruja dengan kemunculan terbaharu Ruffedge.

Sebagai tribute, Ruffedge turut mengimbau kembali nostalgia mereka ketika di zaman remaja dengan mempersembahkan seleksi lagu popular antarabangsa seperti In The Still Of The Night, All My Life, I Care Bout You dan 5 Step.

Memasuki segmen kedua, Ruffedge membuat kejutan dengan menampilkan anggota asal mereka, Amer, 40, yang kini berhijrah ke Oman. Ternyata kejutan itu menerima sorakan dan tepukan gemuruh peminat yang sudah lama ternanti-nantikan Amer kembali beraksi dengan rakan-rakannya itu.

Konsert itu turut dimeriahkan dengan kemunculan tiga penyanyi jemputan iaitu, Pot Innuendo, Nine Phyne Ballerz dan Jaclyn Victor.

Cat yang teruja dengan respons peminat, kemudiannya menghadiahkan peminat bertuah dengan mencampak topi dan jaket yang dipakainya ketika membuat persembahan.

Selain mendendangkan lagu-lagu berhantu mereka seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu dan Khayalan, Ruffedge turut memperdengarkan single terbaharu mereka secara eksklusif yang diberi judul Seperti Mereka.

Antara rakan artis yang turut hadir memberikan sokongan ialah Fazura, Fattah Amin, Lisa Surihani, Jihan Muse, Ungku Hariz, Ruzana Ibrahim dan Aqasha.

Selepas kejayaan konsert di KL, Ruffedge sekali lagi akan mengadakan persembahan di Singapura pada 6 Oktober ini. Tiket sudah mula dijual semalam boleh didapati menerusi laman sesawang www.myticket.asia. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Reza

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button