• FOLLOW US
Rancangan TV, TV

Lima Selebriti Dipilih Penyampai Baharu Program Mingguan Wanita

Menyedari pengaruh dan populariti selebriti terkenal boleh menarik lebih ramai pengikut, program bual bicara Mingguan Wanita mengambil keputusan untuk melantik lima selebriti terkenal sebagai penyampai baharu mereka.

Mereka yang terpilih ialah Elizad Sharifuddin, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad dan dua artis lelaki iaitu pelakon Norman Hakim dan penyampai radio Era, Radin Amir.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pemilihan kelima-lima selebriti itu dirasakan tepat memandangkan pengaruh selebriti lebih kuat daripada ‘social media influencer’.

“Selebriti punyai pengaruh yang kuat berbanding selebriti media sosial dan tidak dinafikan atas sebab itu kita menampilkan barisan selebriti popular untuk musim baharu ini.

“Untuk musim ini, kami akan mengupas isu secara menyeluruh termasuk daripada aspek kecantikan, kesihatan, pelancongan, kemasyarakatan dan juga gaya hidup,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran musim baharu Mingguan Wanita yang berlangsung di The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Elizad yang diberi peranan sebagai hos pada setiap hari mengatakan pengacaraan merupakan satu cabang seni yang cukup diminatinya selain daripada lakonan.

“Saya akan bersiaran pada setiap hari ditemani rakan penyampai yang berlainan. Saya suka dengan pengisian program ini dan sudah pastinya saya akan cuba memberikan yang terbaik,” ujarnya yang cukup teruja dengan kerja baharunya itu.

Pada setiap Isnin, Elizad akan bergandingan dengan Erra untuk mengulas topik berkaitan Kesihatan dan Kecantikan manakala pada setiap hari Selasa, Elizad dan Radin akan berbicara mengenai isu Kemasyarakatan dan Gaya Hidup.

Setiap hari Rabu, Elizad akan ditemani Sherry untuk mengupas topik berkaitan Makanan & Travelog. Untuk setiap hari Khamis, Elizad dan Norman akan membawa penonton mendalami topik Cerita Dalam Kain mengenai hal-hal rumah tangga.

Pada hari Jumaat pula, segmen Motivasi, Inspirasi & Kerohanian pula akan dikendalikan Elizad secara bergilir-gilir bersama Datuk Fadzillah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan Imam Muda Asyraf.

Mingguan Wanita akan bersiaran langsung pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi bermula 8 Julai ini di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend