EventHiburan

5,000 Peminat Saksi Konsert Perpisahan Boyzone Di Shah Alam

Selamat tinggal buat selamanya! Konsert terakhir Boyzone yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat lalu ternyata meninggalkan kenangan manis buat lebih 5,000 peminat yang hadir menyaksikan Thank You and Goodnight Farewell Tour 2019.

Boyzone yang dianggotai Ronan Keating, Shane Lynch, Mikey Graham dan Keith Duffy menjayakan konsert ini sebagai tanda terima kasih kepada peminat seluruh dunia yang menyokong kumpulan mereka sejak ditubuhkan 26 tahun lalu.

Mereka sepakat mengambil keputusan untuk membubarkan kumpulan ini sebaik selesai menjayakan konsert jelajah pada bulan Oktober ini.

Muncul tepat jam 9.20 malam, boyband asal Dublin, Ireland ini memanaskan pentas dengan lagu Who We Are dan Love Is A Hurricane.

Persembahan yang semakin rancak kemudiannya diteruskan dengan barisan lagu-lagu hits mereka seperti Love Me For A Reason, Baby Can I Hold You Tonight, All That I Need dan Coming Home Now.

Suasana stadium kemudiannya bertukar suram apabila Boyzone mendedikasikan lagu buat Stephen Gately yang meninggal dunia pada 2009 dengan menyampaikan lagu Dream dan Everyday I Love You dengan dilatari paparan video yang turut menyertakan audio dan wajah mendiang.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu bagaikan tidak terasa apabila keempat-empat ahli kumpulan ini masih kekal bertenaga demi memberikan konsert selamat tinggal kepada peminat yang setia menyokong selama ini.

Boyzone kemudiannya meneruskan momentum konsert dengan lagu hits Ronan seperti When You Say Nothing At All dan Life Is A Rollercoaster.

Menutup persembahan, Boyzone memilih lagu rancak Picture Of You sebagai aspirasi kepada peminat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka selama ini.

Pujian wajar diberikan buat bekas anggota kumpulan Weslife, Brian McFadden yang dijemput sebagai penyanyi undangan apabila mendendangkan tujuh buah lagu popular kumpulan itu seperti My Love, Swear It Again, World Of Our Own, Mandy, When You Looking Like That, Queen Of My Heart dan Uptown Girl.

Kehadiran Brian juga menjadi indikasi bahawa peminat pastinya sudah tidak sabar untuk berhibur dengan Westlife yang bakal berkunjung ke Malaysia pada Ogos ini.

Konsert ini dijayakan Wowstar Creative Entertainment dengan kerjasama J Starlux dan Aco Media. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button