
6 Bulan Hamil, Jihan Belum Cari Lagi Barang Anak
Pengacara dan pelawak Jihan Muse mendedahkan walaupun usia kandungannya sudah mencecah enam bulan namun dia dan suami masih lagi belum membeli barangan keperluan bagi menyambut kelahiran bayi sulung mereka.
Menurut hos berusia 34 tahun itu, dia merupakan seorang individu yang tidak gemar merancang sebaliknya hanya ‘just go with the flow’ dengan setiap perkara.
“Baru enam bulan usia kandungan, ada masa lagi nak beli, sekarang semua boleh online,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin di Hotel J.W Marriot, baru-baru ini.
Jihan telah diberi peranan sebagai hos untuk majlis anugerah tersebut yang mengiktiraf kerja seni pembikin filem dan drama tanah air.
Walaupun sarat hamil, Jihan tidak menjadikan perkara itu sebagai satu halangan untuknya bekerja malah suaminya, aktor Ku Hariz memberikan galakan untuknya bekerja.
“Tiga bulan pertama saya dah berehat sebab alami morning sickness yang agak teruk, saya sentiasa rasa mual pada ketika itu. Melepasi bulan keempat baharu saya mula bekerja semula. Suami pun beri galakan untuk saya bekerja daripada duduk rumah tak buat apa.
“Saya tiada masalah mengacara ketika sedang hamil. Ini merupakan pengalaman pertama saya mengacara program TV3 dan saya memang tak terikat dengan Astro, mungkin sebab saya banyak buat program dengan Astro, itu yang orang ingat saya ada kontrak dengan Astro,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai jantina anaknya, Jihan berkata buat masa ini dia masih belum mengetahui jantina anaknya namun mendoakan agar kandungannya sihat dan cukup sifat.
Sepanjang kehamilannya, Jihan mengamalkan pengambilan makanan sunnah seperti kurma, kekacang, safron dan minyak zaitun seperti yang digalakkan buat wanita mengandung.
Jihan dijangka melahirkan anak sulung di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam pada Januari ini.
Sementara itu, Jihan telah diberi tanggungjawab sebagai hos Anugerah Skrin 2017 (ASK17) bersama dua lagi hos iaitu Fahrin Ahmad dan Shuk Sahar.

ASK17 bakal berlangsung pada 3 November ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV3.
Anugerah itu mendapat kerjasama penaja utama Olay, penaja bersama Oppo dan rakan penaja McCafe. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Jihan & TV3