
FeelDog Dedah Hadiah Istimewa Yang Disediakan Buat Bora
Penyanyi dan pelakon Oh Gwang Suk, 27, atau lebih dikenali sebagaai FeelDog baru-baru ini telah berkongsi cerita mengenai hadiah istimewa yang disediakan buat kekasihnya Bora daripada bekas kumpulan SISTAR menerusi rancangan realiti televisyen MBC Every1’s ‘Video Star’ yang bersiaran beberapa hari lalu.
Menurut ketua kumpulan BIGSTAR itu, dirinya memiliki hobi suka melukis dan lukisan tersebut telah dijual. Selain itu, FeelDog turut mempamerkan sisi romantik yang dilakukan buat teman wanitanya.
“Baru-baru ini saya mengadakan pameran lukisan dan ramai juga yang telah membeli lukisan saya. Selain itu, saya juga cenderung untuk melukis dan menulis surat untuk teman wanita saya,” ujarnya.
“Adakah awak masih melakukan perkara yang sama seperti memberi hadiah seperti itu kepada teman wanita awak sekarang iaitu Bora?” tanya Dara selaku pengacara rancangan berkenaan kepada FeelDog.
“Ya, saya masih memberi lukisan atau potret kepada Bora sambil memikirkannya semasa melukis. Saya akan melukis sesuatu yang menarik apabila memikirkannya,” jelas FeelDog.
Terdahulu, FeelDog dan Bora telah mengumumkan status hubungan mereka kepada umum pada bulan Jun 2017. – KopiPlanet.com