
Memasuki musim keenam, Oh My English! kini kembali dengan barisan pelakon baharu yang bakal memeriahkan lagi sitkom edutainment tersebut.
Rancangan yang memfokuskan pada pembelajaran Bahasa Inggeris secara santai ini akan memulakan tayangan Oh My English – Level Up di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap hari Ahad mulai 1 Oktober ini, jam 6.30 petang.
Antara barisan pelakon baharu ialah Fimie Don, Yuna Rahim, Harris Alif, Chen Su Ee, Timothy Deeran, Nur Shahidah Abdullah, Qistina Enara dan Izzy Reef.
Jika musim-musim terdahulu watak cikgu Bahasa Inggeris dijayakan pelakon Zain Saidin menerusi watak Mr Henry Middleton, kali ini karakter tersebut digantikan dengan watak baharu, Mr. James Blond yang dilakonkan Mark O’Dea.
Walaupun kebanyakan muka baharu yang ditampilkan pada musim kali ini, namun masih ada watak-watak guru lain yang dikekalkan, antaranya pengetua sekolah Puan Hajar yang dilakonkan Adibah Noor, guru Matematik Miss Soo (Carmen Soo), Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad), Penolong Pengetua, Encik Yusof lakonan Tauke Raja Lawak dan bekas pelajar Jojie (Nadiya Nissa) dan Zack (Juzzthin) yang kini bergelar guru di SMK Ayer Dalam.
Mengulas mengenai penampilan ramai muka-muka baharu pada musim ini, Penolong Naib Presiden Bahagian Pendidikan Astro, Sharifah Noraidah Syed Ismail berkata, “Oh My English! – Level Up menemui penonton dari musim ke musim. Penting untuk kami tampilkan elemen unik dalam setiap musim bersiaran agar penonton terhibur dan terus setia bersama kami.

“Oh My English! – Level Up sudah masuk musim keenam, justeru wajar kiranya kami tampil dengan aspek perubahan yang ketara dari musim-musim sebelum ini agar mendapat impak yang lebih besar. Kami bawakan kembali bekas-bekas pelajar SMK Ayer Dalam ke sekolah sebagai guru sandaran dan dari situ kita dapat lihat sisi berlainan mereka yang pastinya lebih matang dan memiliki tahap kepimpinan tinggi.
“Jika dahulu Zack dan Jojie dilihat sebagai sebahagian daripada pelajar nakal, kini mereka hadir dengan karakter yang berbeza. Saya yakin dengan kehadiran muka-muka baharu ini akan membuatkan rancangan ini dilihat segar, lebih menarik dan mampu menarik minat generasi muda hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Oh My English! – Level Up yang diadakan di Pavilion, semalam.
Untuk musim baharu ini, sebanyak 26 episod berdurasi 15 minit yang akan dipadatkan dengan dialog dan gelagat lucu para pelajar kelas 3 Merah. – KopiPlanet.com



