
Keselamatan Keluarga Diancam & Diugut, Syamsul Yusof Buat Laporan Polis
Pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof hari ini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur selepas menerima mesej berbaur ugutan dan ancaman terhadap dirinya, isteri serta anak-anak menerusi sebuah akaun Instagram daripada individu tidak dikenali.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 36, berkata dia bertindak membuat laporan polis kerana akaun Instagram terbabit telah bertindak melampaui batas dalam meninggalkan komen-komen kepadanya menerusi Direct Message (DM).
Menurut suami kepada aktres Puteri Sarah Liyana itu dia tidak pasti bila individu tersebut menghantarkan mesej tersebut kepadanya namun hanya menyedarinya pada malam semalam.
“Saya sedar sebagai selebriti memang ia adalah perkara biasa kalau kita dapat mesej-mesej yang menghentam kita, namun kali ini saya sudah tidak boleh bersabar apabila ia melibatkan ugutan terhadap isteri dan anak-anak saya.
“Kalau individu ini tidak puas hati dengan saya dia sepatutnya hanya berurusan dengan saya, jangan babitkan isteri dan anak-anak saya sekali. Benda ini yang buatkan saya rasa dia telah bertindak melampaui batas untuk saya berdiam diri.
“Saya tidak tahu agenda dia dan saya pun tidak tahu sama ada dia orang yang saya kenali atau tidak. Mesej tersebut dihantar ke akaun Instagram saya dan saya sedar perkara itu kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
“Antara isi mesej tersebut ialah ‘ aku akan hancurkan kerjaya kau, untuk bagi kau malu. Jangan fikir anak bini kau akan selamat. Isteri kau, aku ikut hari-hari’.
“Dia sudah pun padamkan akaun Instagram dia, tapi jangan ingat kami takkan dapat dia sampai dapat. Sekarang dunia dah canggih, sekejap sahaja boleh dapat kenalpasti identiti dia.
“Yang buat saya lagi risau apabila sebelum ini kereta isteri saya pernah dihalang oleh individu tidak dikenali ketika dia sedang memandu menyebabkan saya risau dengan keselamatan isteri dan anak-anak saya, ” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui selepas dia selesai membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.
Kehadiran pengarah filem Munafik itu turut ditemani oleh dua peguam yang dilantiknya, iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli daripada Tetuan Saiful, Roger & Co.
Menurut Syamsul lagi, jika sebelum ini dia tidak mengambil pusing terhadap sebarang ancaman dan hentaman yang dikeluarkan kepadanya, namun apabila melibatkan keselamatan keluarganya dia terpaksa membuang topeng ‘Mr Nice Guy’ yang selama ini disarungkannya.
“Saya dah nekad ‘no more Mr Nice Guy’. Saya perlu pertahankan diri dan akan cari siapa yang membuat ugutan ini kepada saya. Kalau tak puas hati dengan saya, apa kata jumpa saya depan-depan.
“Tak perlu libatkan anak dan isteri saya. Saya mati pun tak apa tapi jangan sesekali sentuh anak dan isteri saya. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kalau tiada bukti.
“Sebelum ini, saya pernah menerima mesej daripada akaun yang sama pada awal tahun ini namun baharu kali ini saya menyedari mesej itu ada berbaur ugutan dan ancaman. Saya ada balas mesej tersebut namun selepas itu, akaun itu sudah dinyahaktifkan (deactived),” tegasnya.
Nama Syamsul beberapa minggu ini hangat diperkatakan apabila dia dikatakan mengalami krisis rumah tangga dengan Puteri Sarah selepas aktres itu dilihat berada di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada 18 September lalu.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah yang kini berusia setahun. – KopiPlanet.com