
ASK17: Fahrin Ahmad Tak Nak Terlalu Mencuba
Diberi kepercayaan buat kali kedua untuk mengacarakan Anugerah Skrin, Fahrin Ahmad berkata dia enggan terlalu mencuba sebaliknya hanya akan menjadi dirinya sendiri sepanjang menggendalikan majlis tersebut.
Bergandingan dengan dua pelawak iaitu Jihan Muse dan Shuk Sahar, Fahrin senang bekerjasama dengan kedua-duanya memandangkan terdapat keserasian di antara mereka bertiga.
“Keserasian itu dah ada ketika kami jumpa meeting kali pertama. Bagi saya takkan ada berlaku siapa overshadow siapa, sebab masing-masing ada karakter sendiri.
“Saya akan menjadi diri sendiri dan tidak try too hard untuk menjadi orang lain.
“Saya dapat rasakan majlis akan berlangsung dalam keadaan spontan dan natural yang mana saya tidak terlalu mencuba untuk menjadi orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2017 yang diadakan di Hotel J.W Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis yang mengetengahkan tema Mencipta Fenomena itu sebanyak 19 buah drama dan 13 buah filem bertanding bagi merebut 33 kategori yang dipertandingkan.
Selain dimeriahkan Fahrin, Jihan dan Shuk, anugerah itu nanti turut menampilkan barisan penyampai seperti Aiman Tino, Farah Nabila, Fattah Amin, Nabila Huda, Neelofa, Raja Ilya, Rozita Che Wan, Saiful Apek, Shukri Yahaya, Wany Hasrita, Zizan Razak, Zul Ariffin, Sarah Adiba dan Anim Ezzati.
Majlis itu turt diserikan dengan persembahan khas daripada Akim & The Majistret, Haqiem Rusli, Issey, Abam, Mark Adam, Stacy, Salam Musik, Nora Ariffin, Ayda Jebat, Hael Husaini, Zizan Razak, Azira Shafinaz, Black dan Jaclyn Victor.
ASK17 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 November ini dibawakan oleh TV3 dengan kerjasama rakan penaja utama Olay, penaja bersama Oppo dan rakan penaja McCafe. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Fahrin Ahmad



