
Dakwa Dirinya Rugi USD50 Juta Akibat Penayangan Black Widow Di Saluran Disney+, Scarlett Johansson Saman Disney
Pelakon yang memegang watak Black Widow, Scarlett Johanson kini bertindak untuk menyaman Disney berkenaan penayangan filem Black Widow di laman Disney+.
Saman berkenaan dikemukakan Scarlett setelah mendakwa dirinya mengalami kerugian sekitar USD50 juta (RM200 juta) daripada kutipan tiket pawagam menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan Marvel.
Menurut WSJ, pelakon berkenaan telah menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Los Angeles dan menjelaskan penayangan Black Widow di laman Disney+ telah melanggar kontraknya.
Ini disebabkan menerusi kontrak yang dimetrai sebelum ini telah menyatakan bahawa bayaran pelakon tersebut akan dibayar mengikut jumlah keuntungan filem berkenaan
Namun begitu, apabila filem Black Widow ditayangkan di saluran Disney+, keuntungan filem tersebut kini dikira dalam cara berbeza dan sekaligus melanggar kontak asal.
Berdasarkan kontrak yang dipersetujui sebelum penggambaran bermula, Disney akan menayangkan Black Widow di pawagam untuk tempoh di antara 90-120 hari sebelum ia boleh ditawarkan di platform penstriman.
Kemudian pelakon itu akan menerima peratusan dari kutipan tayangan di pawagam dan difahamkan Johansson tidak akan menerima sebarang bayaran hasil dari kutipan Premiere Access yang ditawarkan oleh Disney+.
Sejak ditayangkan di panggung wayang dan Disney+ secara serentak 7 Julai yang lalu, filem tersebut telah berjaya mengutip lebih $300 juta dengan majoritinya datang dari Premiere Access.
Dalam pada itu, Disney dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengatakan mereka sedih dan merisaukan kerana pelakon itu seperti tidak memikirkan impak wabak Covid-19 di peringkat global.
Tambah Disney lagi mereka telah memenuhi kontrak dengan Johansson yang setakat telahpun menerima bayaran USD20 juta (RM80 juta) untuk membintangi filem Black Widow. – KopiPlanet.com



