
Bermula dengan minat dalam sukan bola sepak hingga dikenali sebagai ‘kaki bola’ telah mencetuskan idea buat dua sahabat iaitu Nashrul Nasir dan Alif Nabil menerbitkan sebuah filem cereka yang bertemakan kenegaraan dan sukan berjudul ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’.
Nashrul atau mesra disapa Nash berkata, keberanian untuk menghasilkan filem yang menelan kos sebanyak RM 7 juta ini tercetus kerana minat yang mendalam serta seiring dengan momentum prestasi semasa skuad kebangsaan yang memberangsangkan pada masa ini.
“Kami sendiri merupakan ‘kaki bola’ dan sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Secara kebetulan prestasi skuad Malaysia sedang meningkat naik dan kami ambil semangat itu dan mahu suntik sokongan terhadap skuad kebangsaan kita.
“Menerusi filem ini, kami mahu kita menghargai skuad kebangsaan. Kita (penyokong) selalu hendak tengok yang baik (menang sahaja) tapi kita tidak tahu apa (cabaran) yang berlaku di sebaliknya. Dalam filem ini, kami paparkan peristiwa pahit dan manis di sebalik tabir perjalanan skuad Harimau Malaya itu sendiri,” katanya.
Diarahkan pengarah Datuk Afdlin Shauki menerusi syarikat produksi mereka 4ward Pictures Sdn Bhd, filem berkenan bakal ditayangkan di pawagam pada bulan Jun ini bersempena musim pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

Sementara itu, Alif pula berkata, filem ini adalah dedikasi dan penghargaan untuk skuad kebangsaan dan rakyat Malaysia, khususnya pencinta bola sepak tempatan.
“Kita tahu bola sepak dapat menyatukan masyarakat. Bola menyuntik semangat perpaduan dan keharmonian berbilang bangsa dan agama di negara kita.
“Bersempena perkembangan baik yang sedang dirasai oleh skuad Harimau Malaya sekarang, kami mahu menyemarakkan lagi sokongan rakyat Malaysia terhadap bola sepak tempatan dan pasukan kebangsaan kita,” katanya.

Filem ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’ yang mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini mendedahkan kisah belakang tabir FAM dan skuad kebangsaan.
Ia turut mengetengahkan perjalanan pemain bola sepak negara dan kisah tiga peminat tegar atau Ultras Malaya. Dua perspektif ini ditemukan pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh, di mana Harimau Malaya memenangi perlawanan itu, sekaligus menamatkan penantian selama 42 tahun dalam kejohanan itu.
Filem ini dibintangi oleh Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Euso, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Namron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.
Syarikat 4ward Pictures juga pernah menerbitkan filem untuk TV tempatan berjudul ‘Rompak’ (2022) dan tiga filem cereka Indonesia iaitu ‘Rumah Iblis’, ‘Mengejar Surga’ dan ‘The Parcel’ (2023). – KopiPlanet.com