Cerita ArtisHiburan

Terlalu Aktif, Raja Farah Alami Keguguran Buat Kali Kedua

Pelakon Raja Farah Raja Aziz mendedahkan bahawa dia telah mengalami keguguran kira-kira dua bulan lalu.

Raja Farah berkata, ia merupakan keguguran buat kali kedua yang dialaminya setelah kali pertama gugur pada bulan Ramadan yang lalu.

“Sebenarnya saya telah alami keguguran ketika usia kandungan baru sahaja mencecah lapan minggu. Memang sangat sedih kerana ini kali kedua saya alami keguguran.

“Mungkin antara puncanya saya terlalu aktif dalam perniagaan sebelum ini. Saya sibuk dengan perniagaan dengan menyertai pelbagai karnival jualan di merata-rata tempat,” ujar pelakon filem Aku Masih Dara itu ketika ditemui semasa majlis Pembentangan Kandungan-Kandungan Baharu Rangkaian Televisyen Media Prima semalam.

Menurut Raja Farah, sekiranya diberi rezeki untuk mengandung lagi pada masa akan datang, dia akan cuba mengurangkan aktiviti perniagaan agar perkara yang sama tidak berulang.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tubuh badannya kelihatan agak berisi, ibu kepada seorang cahaya mata Imran Iskandar tersebut mengakui berat badannya bertambah ketika ini.

“Memang berat badan saya bertambah dan belum bercadang untuk menurunkannya. Lagipun anak saya masih lagi menyusu badan dan saya akan kekal dengan berat badan sebegini,” ujarnya yang enggan mendedahkan berat badannya yang sebenar sekarang.

Bercakap mengenai karier lakonan pula, Raja Farah memberitahu bahawa dia masih lagi bersedia untuk berlakon, namun akan memilih watak-watak yang bersesuaian.

Menurutnya, sehingga kini dia masih belum lagi menerima sebarang tawaran lakonan sama ada drama, telefilem atau filem.

“Kalau ada tawaran yang datang, saya akan pertimbangkan terlebih dahulu sama ada bersesuaian atau tidak.

“Saya akui agak selektif dalam memilih sebarang tawaran dan akan berbincang dengan suami sebelum memberikan persetujuan,” jelasnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button