
Demi Watak, JC Chee Pikat 150 Wanita Di Pasar Malam
Setelah tampil dengan filem Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras baru-baru ini, pelakon JC Chee kini tampil pula dengan sebuah lagi filem iaitu My Suprise Girl: Cinta Bidadari.
JC Chee berkata, untuk filem ini dia melalui cabaran yang tersendiri bagi menghidupkan wataknya dalam filem tersebut. Membawakan watak seorang kaki perempuan bernama Hao Wen, JC Chee telah dicabar untuk melakukan latihan yang mana dia perlu memikat sekurang-kurangnya 150 wanita di pasar-pasar malam di Taiwan selama sebulan.
“Bagi saya watak ini ada cabarannya tersendiri sebab dalam kehidupan sebenar, saya bukanlah seorang yang kaki perempuan. Namun watak Hao Wen ini dia seorang yang sangat pandai memikat wanita. Jadi, saya perlu lakukan latihan seperti memikat mana-mana wanita di pasar malam untuk dapatkan nombor telefon mereka. Bukan mudah nak dapatkan nombor mereka, tetapi dari situlah saya belajar untuk memikat wanita.
“Setiap hari saya perlu sekurang-kurangnya dapatkan lima nombor telefon selama sebulan. Lepas dah dapat nombor telefon mereka, saya kemudiannya terangkan pada gadis-gadis itu yang ini merupakan salah satu latihan yang perlu dilakukan saya untuk menjiwai watak sebagai seorang kaki perempuan, nasib baik mereka semua faham,” kata JC kepada KopiPlanet.com.
Menerusi filem My Surprise Girl: Cinta Bidadari, JC digandingkan dengan Emily Kong yang membawakan watak sebagai bekas teman wanitanya dan Debbie Loo yang berperanan sebagai anak perempuannya.
Filem arahan Jack Lee Kok Heng itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 April ini.
Antara cabaran lain yang perlu dilalui JC Chee menerusi filem ini ialah apabila buat pertama kali dia diberi peranan membawakan watak sebagai seorang bapa. Namun, perkara itu tidak menjadi satu kesukaran buat dirinya memandangkan dia merupakan seorang individu yang sukakan kanak-kanak.
“Walaupun saya belum berkahwin dan mempunyai anak, ia tidak menjadi satu kesukaran buat saya memandangkan saya sering menghabiskan masa bermain dengan dua orang anak saudara ketika hujung minggu.
“Cumanya dalam mendapatkan keserasian dengan Debbie, saya ambil pendekatan jarakkan hubungan kami pada mulanya sebab dalam filem ini kami merupakan dua orang yang tidak pernah bertemu sebelum ini agar lakonan kami nampak lebih semula jadi. Semakin berkembang watak kami berdua, baharulah dari situ kami mula rapat dan sering habiskan masa bersama untuk cipta keserasian anak dan bapa,” katanya.
My Surprise Girl: Cinta Bidadari mengisahkan Hao Wen seorang lelaki kaki perempuan yang meminati sukan luncur air. Seorang yang tidak suka terikat dengan komitmen perkahwinan, Hao Wen dikejutkan dengan kehadiran seorang budak perempuan berusia lapan tahun, Xiao Feng yang mengakui lelaki itu sebagai bapanya.
Daripada seorang lelaki yang tidak sukakan komitmen, bagaimana agaknya penerimaan Hao Wen terhadap kemunculan anaknya itu? Semuanya boleh disaksikan menerusi filem My Surprise Girl: Cinta Bidadari mulai 5 April ini.
My Surprise Girl: Cinta Bidadari menjalani penggambaran sepenuhnya di Kenting, Taiwan tahun lalu. – KopiPlanet.com
Sinopsis:
Hao Wen adalah seorang jejaka kacak kaki perempuan yang tidak gemarkan komitmen lantas membuatkan dia suka berpelesaran dengan mana-mana wanita tanpa terikat dengan sebarang perhubungan dengan mereka.
Terdapat satu insiden di pejabat telah membuatkan Hao Wen membawa diri ke sebuah pusat peranginan dan di sanalah dia dipertemukan dengan kejutan bahawa dia mempunyai seorang anak perempuan Xiao Feng (Debbie Loo).
Xiao Feng mendedahkan dia adalah darah daging Hao Wen yang mana ibunya adalah bekas kekasih kepada lelaki tersebut.
Pada mulanya, Hao Wen tidak dapat menerima kehadiran Xiao Feng dalam hidupnya sehinggakan dia ingin menghalau budak itu daripada menganggu kehidupannya. Namun pemilik rumah penginapan, Xue Fen (Jeana Ho) yang diduduki Hao Wen berasa kasihan dengan nasib yang menimpa anak kecil itu lalu mengizinkan Xiao Feng terus tinggal di homestay-nya.
Xiao Feng muncul secara tiba-tiba dengan seekor kucing gebu yang merupakan binatang peliharaan kesayangan mendiang ibunya, Yu Fang (Emily Kong).
Sejak kehadiran kedua-dua si cilik itu, perniagaan rumah penginapan Xue Fen semakin berkembang maju apabila semakin ramai datang menetap di homestay yang diusahakannya.
Bekas rakan sekerja Hao Wen kemudian datang memujuknya supaya mengaku salah dan kembali semula ke syarikat tetapi sikap angkuh dan ego Hao Wen telah menyebabkannya enggan berbuat demikian.
Di saat Hao Wen mula dapat menyesuaikan diri dengan Xiao Feng , konflik mula berlaku apabila akhirnya datuk dan nenek Xiao Feng iaitu ibu bapa Yu Fang datang bertemu Hao Wen lalu mendedahkan rahsia mengenai Xiao Feng. Apakah rahsia tersebut? Ia hanya akan dapat diketahui selepas anda menyaksikan sendiri filem arahan Jack Lee K.H ini di pawagam berdekatan anda bermula 5 April ini.




