
Fattah Simpati Nasib Syafiq Kyle, Pesan Netizen Jangan Sebar Aib
Sebagai rakan seangkatan, pelakon Fattah Amin menyatakan perasaan simpatinya terhadap kontroversi yang dilalui Syafiq Kyle susulan penyebaran satu video aksi lucah yang dipercayai mirip aktor berusia 26 tahun itu.
Fattah turut meminta masyarakat lebih-lebih lagi netizen agar tidak menyebarkan sesuatu cerita yang tidak pasti kesahihannya.
“Bagi saya benda kontroversi gosip boleh berlaku pada mana-mana selebriti termasuk saya.
“Sebagai artis kami kena bersedia dengan perkara-perkara sebegini. Nama pun gosip kita tak tahu sama ada betul atau tidak.
“Saya dn isteri turut bersimpati dengan Syafiq Kyle lebih-lebih lagi benda ini berlaku di bulan Ramadan.
“Kalau benda ini tidak betul, ia boleh jatuh fitnah,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Fattah ditemui pada majlis pelancaran single raya berjudul Syawal Kali Ini yang berlangsung di SACC Mall, Shah Alam hari ini.
Menurut Fattah lagi, netizen seharusnya tidak meninggalkan komen-komen yang tidak elok sekali gus membuka aib mana-mana pihak yang terlibat dalam kontroversi tersebut.
“Apa yang patut kita buat jangan bercerita tentang aib orang. Kalau kita buka aib orang, tak mustahil nanti orang boleh buka aib kita.
“Kalau tak tahu benda itu betul atau tidak, lebih baik kita diam sahaja,” kata Fattah lagi.
Untuk makluman, Fattah dan Syafiq bersama-sama menceburi bidang lakonan selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 2012. – Kopiplanet.com